Sunday, June 28, 2009

PAS dan realiti dakwah

Dalam realiti dakwah di Malaysia, peringkat Makkah mungkin memakan masa beratus tahun—bukannya 13 tahun seperti yang dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW. Ini kerana peringkat Madinah hanya berlaku apabila Islam mendapat kuasa sepenuhnya dalam pemerintahan. Dalam sistem politik yang kompleks, saiz Negara yang besar, komposisi kaum yang rencam dan politik antarabangsa yang dinamik, perubahan sistem tidak boleh berlaku dalam tempoh sesingkat 13 tahun.

Rasulullah SAW menerima amanah kerasulan pada usia 40 tahun di Makkah. Dalam tempoh dakwah di Makkah, baginda menekankan soal pendidikan dan pembinaan peribadi dengan pengukuhan aqidah dan akhlak. Dalam tempoh itu, tiada arahan untuk menguatkuasakan syariah, kerana ayat-ayat al-Quran yang menjurus ke arah pelaksanaan syariat belum lagi diturunkan.

Negara hanya tertegak apabila Nabi berhijrah di Madinah. Pada waktu itu, Rasulullah diberikan mandat mutlak untuk mentadbir Madinah. Dengan kebijaksanaannya Baginda mengukuhkan sokongan melalui Sahifah Madinah yang ditandatangani oleh setiap kelompok yang menghuni Madinah. Sahifah ini adalah satu perjanjian yang mengikat masyarakat yang belum Islam untuk mentaati Baginda SAW selaku ketua Negara.

Pada peringkat inilah syariat yang syumul diturunkan. Dalam syariat terdapat hukum-hukum yang memerlukan kuasa politik seperti hukum jenayah, hukum perang dan lain-lain. Hukum sebegini dapat dilaksanakan pada zaman pemerintahan baginda dengan wujudnya Negara Madinah. Proses tadaruj ini ditunjukkan melalui bentuk penurunan al-Quran yang beransur-ansur.

Berbalik kepada perjuangan Islam di Malaysia, hakikatnya petunjuk sirah ini boleh dijadikan panduan asas dalam menentukan peringkat dakwah dan siasah. PAS yang mendokong Islam perlu menyedari bahawa selama ini ia masih dalam peringkat dakwah Makki. Kemenangan di Kelantan umpamanya bukanlah satu bentuk penubuhan pemerintahan yang membolehkan tertegaknya pemerintahan Islam seperti era Madani. Kemenangan itu perlu dilihat sebagi satu pembukaan kepada pintu dakwah yang baru dan lebih besar.

Demikian juga kemenangan PAS bersama-sama rakan dalam Pakatan Rakyat tidak boleh dijadikan satu landasan kepada pemerintahan Islam secara mutlak. Kemenangan itu sebaliknya satu ruang yang semakin luas kepada PAS untuk melebarkan dakwah, bukan sahaja kepada dilkalangan umat Islam bahkan kepada masyarakat bukan muslim.

Menyedari hal ini, pendokong PAS sewajarkan memberikan tumpuan kepada usaha untuk menunjukkan kemampuan Islam memerintah melalui kemenangan yang ada ini. Pamerkan keindahan Islam melalui beberapa aspek yang sedia disepakati umpamanya melalui kerajaan yang bersih dan amanah, pembanterasan rasuah, keadilan sejagat, kepimpinan yang tidak tamakkan dunia, konsep keadilan untuk semua, keterbukaan menerima kritikan dan teguran dan seumpamanya.

Selain itu, sepanjang dalam peringkat ini PAS perlu berusaha untuk menyampaikan mesej aqidah Islam kepada umum termasuk bukan muslim di samping mengukuhkan aqidah umat Islam terutamanya dari kalangan pendokong dan penyokong. Pengukuhan kepada soal akhlak juga penting. Di sinilah letaknya signifikan pemantapan tarbiyah dan dakwah. Tarbiyah dalaman perlu utuh dan dakwah ke arah aqidah yang sahih dan akhlak yang murni perlu dirancakkan.

Menjadi tanggungjawab kepada pemimpin PAS untuk menjelaskan hakikaat ini. Hari ini masih terdengar suara-suara yang mempertikaikan kepimpinan kerajaan negeri dari PAS yang dikatakan gagal untuk menegakkan syariat Islam. Ahli yang meluahkan suara begini perlu difahamkan marhalah dalam dakwah ini. Mereka perlu jelas bahawa kerajaan yang ada sekarang ini bukannya kerajaan Islam. Penyertaan PAS adalah sebagai memenuhi keperluan dan maslahah; juga untuk elakkan mudharat.

Namun keadaan ini tidak bermakna PAS perlu melupakan langsung usaha menegakkan syariah. Penegakkan syariah sebenarnya tetap berlaku dalam beberapa keadaan, iaitu dalam perkara yang disepakati bersama rakan dalam PR, seperti pengharaman rasuah dan ketidakadilan. Selain itu sebarang ruang dan peluang untuk melaksanakan hukum Allah setakat yang boleh tanpa menjejaskan maslahah dakwah dan tarbiyah juga perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah.

Tegasnya, pemimpin PAS sewajibnya memahami aspek keutamaan dalam menentukan halatuju perjuangan, agar setiap langkah yang dihayun menepati dengan kehendak syariat.

No comments: