Sunday, September 25, 2011

Hudud menguji formula kerjasama Pakatan Rakyat

Kerjasama PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat kini menempuh era yang kian mencabar. Tentunya PR tak boleh terus mengelak dan berdiam diri dengan isu-isu kritikal seperti soal Negara Islam dan pelaksanaan hudud.

Hudud dimusuhi oleh mereka yang tida memahaminya. Pandangan serong terhadap hudud adalah fenomena antarabangsa hasil propaganda Barat. Tamadun Eropah yang sekian lama melihat Islam dari perspektif yang pincang melihat undang-undang jenayah Islam sebagai suatu yang ganas, kejam dan keras.

Di sini, alir berfikir demikian tetap wujud. Di kalangan bukan Islam, bahkan juga di kalangan orang yang mengaku Islam. Kita tak hairan jika bukan Islam memusuhi hudud. Ia biasa dan lumrah. Puncanya ialah kejahilan dan persepsi negatif akibat propaganda Barat.

Tugas Muslim adalah untuk meyakinkan mereka dengan keindahan hudud. Ini yang UMNO gagal, dan tak mahu buat. PAS pula belum berjaya dan tidak strategik melakukannya. Ya, soal ini, buat masa ini belum menjadi keutamaan. Namun dengan asakan penentangan hebat ini. ia perlu dinaikkan menjadi agenda besar. Maksud saya agenda meyakinkan manusia tentang keindahan undang-undang Islam yang disalahfahami.

Kelantan berhak melaksanakan hudud. DAP tiada hak untuk larang. Bukan Islam juga tak perlu risau. Diadili mengikut hukum agama adalah hak demokratik rakyat Kelantan. Sudah empat tahun mereka memangkah PAS yang terang-terang mahu melaksanakan hudud di Kelantan. Empat tahun mereka mengundi untuk hudud. Maka, kenapa nafikan hak demokratik mereka.

Hudud juga adalah sebahagian kebebasan beragama. Hak umat Islam untuk menamalkan Islam adalah dilindungi. Kebetulan pula Islam adalah agama yang luas. Ia bukan soal ibadan ritual semata-mata, bahkan juga meliputi soal kewangan, hukuman jenayah dan peraturan sosial. Dihukum dengan hukum Islam adalah hak agama. Ini kerana penjenayah Muslim yang tidak dihukum mengikut hukum Islam akan dihukum lagi diakhirat nanti. Ini kepercayaan agama, dan ini dilindungi oleh Perlembagaan.

Maka, apa salahnya untuk berikan jalan kepada Kelantan melaksanakan hudud.