Monday, November 9, 2009

Seminar PAS: Jangan kata masalah dah selesai

Jika pemimpin dan pengulas mengatakan Seminar PAS tempohari telah menyelesaikan masalah dan kemelut dalam PAS, maka itu silap. Seminar itu hanya sekadar sebahagian dari proses mengenalpasti masalah. Sebahagian masalah didedahkan dalam seminar itu. Masalah itu akan terus membarah dan membesar jika tiada tindakan susulan. Jika ada pemimpin PAS menganggap masalah PAS sudah selesai dengan tamatnya seminar itu, maka pemimpin itu adalah sebahagian dari masalah PAS yang sebenarnya belum selesai.

Secara umumnya, kemelut PAS boleh dicerakinkan kepada beberapa aspek:
1. Masalah kesatuan dikalangan pemimpin PAS (termasuk dua Tok Guru)
2. Kekaburan dalam perincian dasar kerjasama dalam Pakatan Rakyat (tahaluf siyasi)
3. Prestasi pemimpin dan kesediaan menghadapi perubahan rentak politik
4. Kemerosotan sokongan massa
5. Perpaduan, akhlak dan disiplin ahli-ahli

Masalah yang disenaraikan ini sebenarnya besar dan memerlukan komitmen yang utuh. Jika pemimpin bersikap melihat sebelah mata, masalah ini akan semakin komplikated dan polemik seperti isu rundingan, muqabalah, UG dan EGM akan berulang lagi.

Usahlah terlalu berasa lega dengan seminar tempohari. Sewajarnya barisan pemimpin memikirkan penganjuran satu bentuk program seterusnya yang lebih fokus kepeda penyelesaian masalah. Program yang tidak perlu melibatkan semua perwakilan seperti seminar lepas. Cukup mengumpulkan barisan pemimpin tertinggi dan penyertaan pihak-pihak yang boleh membantu merungkaikan masalah dalam PAS.

Program berbentuk pemukiman (retreat) seperti ini perlu perlu dihadiri oleh kedua-dua Tok Guru serta pemimpin diperingkat nasional. Perbezaan pendekatan perlu dirungkaikan dengan membuat satu perincian berkaitan perkara-perkara kritikal seperti soal kerjasama dalam Pakatan Rakyat, kedudukan PAS dan pemerintahan kerajaan PR, strategi menarik sokongan bukan Islam, hubungan dengan UMNO, disiplin dalam jamaah, dan pengaruh perubahan demografi politik kepada PAS.

Setiap masalah perlu dianalisa melalui proses yang teliti dan sistematik. Perlu dibuat perincian masalah, kajian punca masalah, cadangan-cadangan penyelesaian, dan urutan keutamaan untuk penyelesaian.

Program pemukiman sebegini juga diharap dapat menghasilkan satu garis panduan lengkap yang dipersetujui bersama. Garis panduan ini tentunya boleh menjadi sandaran bila berlaku perbezaan pendekatan seperti yang pernah berlaku dalam isu 16 September, muqabalah, UG, dan EGM.

Selain itu pemukiman ini juga dapat mengembalikan keyakinan rakyaat terutamanya bukan Melayu yang pernah memberikan kepercayaan melalui peti undi dalam PRU12. Diharap sekurang-kurangnya satu New Deal atau Tekad Baru dapat diisytiharkaan bagi mengembalikan keyakinan terhadap komitmen PAS untuk memperjuangkan kepentingan rakyat melalui Pakatan Rakyat.

Tegasnya, masih banyak tindakan yang perlu digerakkan bagi memperkasakan PAS. Kemelut yang dihadapi kini sebenarnya adalah sebahagian dari proses pematangan yang sihat. Proses ini berlaku lantaran perubahan landskap politik selepas PRU12. Yang jelas bukan PAS sahaja yang bergolak menghadapai perubahan ini. Hampir semua parti dalam BN dan PR menghadapinya. Alhamdulillah kekuatan akidah perjuangan PAS menjadikan parti tetap utuh walau pun menghadapi berbagai dugaan dalam kemelut ini.



No comments: