Sunday, September 25, 2011

Hudud menguji formula kerjasama Pakatan Rakyat

Kerjasama PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat kini menempuh era yang kian mencabar. Tentunya PR tak boleh terus mengelak dan berdiam diri dengan isu-isu kritikal seperti soal Negara Islam dan pelaksanaan hudud.

Hudud dimusuhi oleh mereka yang tida memahaminya. Pandangan serong terhadap hudud adalah fenomena antarabangsa hasil propaganda Barat. Tamadun Eropah yang sekian lama melihat Islam dari perspektif yang pincang melihat undang-undang jenayah Islam sebagai suatu yang ganas, kejam dan keras.

Di sini, alir berfikir demikian tetap wujud. Di kalangan bukan Islam, bahkan juga di kalangan orang yang mengaku Islam. Kita tak hairan jika bukan Islam memusuhi hudud. Ia biasa dan lumrah. Puncanya ialah kejahilan dan persepsi negatif akibat propaganda Barat.

Tugas Muslim adalah untuk meyakinkan mereka dengan keindahan hudud. Ini yang UMNO gagal, dan tak mahu buat. PAS pula belum berjaya dan tidak strategik melakukannya. Ya, soal ini, buat masa ini belum menjadi keutamaan. Namun dengan asakan penentangan hebat ini. ia perlu dinaikkan menjadi agenda besar. Maksud saya agenda meyakinkan manusia tentang keindahan undang-undang Islam yang disalahfahami.

Kelantan berhak melaksanakan hudud. DAP tiada hak untuk larang. Bukan Islam juga tak perlu risau. Diadili mengikut hukum agama adalah hak demokratik rakyat Kelantan. Sudah empat tahun mereka memangkah PAS yang terang-terang mahu melaksanakan hudud di Kelantan. Empat tahun mereka mengundi untuk hudud. Maka, kenapa nafikan hak demokratik mereka.

Hudud juga adalah sebahagian kebebasan beragama. Hak umat Islam untuk menamalkan Islam adalah dilindungi. Kebetulan pula Islam adalah agama yang luas. Ia bukan soal ibadan ritual semata-mata, bahkan juga meliputi soal kewangan, hukuman jenayah dan peraturan sosial. Dihukum dengan hukum Islam adalah hak agama. Ini kerana penjenayah Muslim yang tidak dihukum mengikut hukum Islam akan dihukum lagi diakhirat nanti. Ini kepercayaan agama, dan ini dilindungi oleh Perlembagaan.

Maka, apa salahnya untuk berikan jalan kepada Kelantan melaksanakan hudud.

Friday, August 5, 2011

Calon PM dari PAS dan Presiden PAS

Jika anda seorang perwakilan ke muktamar PAS, andalah yang berhak memilih Presiden PAS. Tentunya fikiran anda menggambarkan watak seorang pemimpin yang punya kemampuan memimpin gerakan Islam untuk menjadi penyandangnya. Ciri yang dominan tentunya bertaqwa, berilmu agama, mampu memberikan motivasi perjuangan, punya tahap pengorbanan tinggi dan seumpamanya. Watak seorang pendakwah, mujahid dan soleh wajib ada. Yang paling menonjol dengan watak itu akan lebih dekat di hati anda, dan perwakilan lain.

Waktu perwakilan memilih Presiden PAS, soal kemampuan mengangani isu ekonomi negara, memahami starategi pembangunan sosial, mengetahui selok belok perlembagaan dan kerenah struktur pentadbiran kerajaan tidaklah dominan. Bahkan mungkin tidak diambil kira langsung. Fenomena ini ada kewajarannya. Memimpin PAS bermakna memimpin gerakan Islam dan gerakan dakwah, walau pun ia juga gerakan politik. Keutamaannya begitu. Soal ciri-ciri berkaitan kepimpinan negara tidak menjadi keutamaan - buat masa ini - dalam menentukan Presiden PAS (juga kebanyakan jawatan-jawatan lain).

Soalnya, di era PAS melangkah ke Putrajaya, hal ini perlu difikirkan kembali. Kita tidak mahu amanah yang diberikan oleh rakyat dimungkiri akibat sistem perjawatan dan pemilihan dalam parti itu.

Namun, apa penyelesaiannya?

Sunday, July 31, 2011

Perlu Calon PM dari PAS

Dicanangkan PAS Ganti UMNO. Jika UMNO yang banyak kecundang, maknanya PAS yang banyak menang. Dan PAS menjadi majoriti dalam PR. Jika diikutkan janji, DSAI akan dipilih menjadi PM. Namun, calon PM tak boleh seorang. Jika ikut urutan, orang no 2 dalam PKR ialah Azmin. Tapi persetujuan utk Anwar jadi PM, tak bermakna setuju untuk Azmin ambil tempat Anwar.

Jadi jika Anwar berhalangan, dan PAS jadi parti terbesar, siapa akan jadi PM?

Tentunya dari PAS. Maknanya PAS perlu fikir dari sekarang. Siapa calon PM dari PAS. Bagi kebanyakan ahli PAS tentunya jawapannya mudah: Mestilah Presiden!

Namun saya lihat ia tidak semestinya begitu.