Monday, February 25, 2008

Pilihanraya segalanya sensitif

Aha. Pesta pilihanraya sudah bermula. TV, akhbar, poster dan segala-galanya mewarnai dunia pilihanraya. Janji, manifesto, putar belit, kritik, tuduh, keluar parti, yakin menang, dan segala macam lagi muncul kembali. Empat atau lima tahun sekali ia datang. Sekarang pestanya sedang berjalan.

Pilihanraya untuk memilih pemimpin. Kita tak guna cara warisan seperti sistem beraja. Atau sistem pemilihan oleh kelompok kecil pakar dan pemimpin seperti pelantikan Sayyidina Usman. Tidak juga kaedah mesyuarat spontan sepeti pelantikan Abu Bakar. Kita juga tidak gunakan kaedah penamaan seperti pelantikan Umar. Kita gunakan pilihanraya. Katanya pilihanraya ini adalah dari prinsip demokrasi--walau pun hakikatnya pengasas demokrasi kuno tidak pernah menganjurkan pilihanraya.

Tentu anda biasa dengar kalimah ini musim pilihanraya: 'Mandat diserahkan kepada rakyat!' atau istilah 'kuasa rakyat'. Ya. Pilihanraya dikatakan sebagai mengembalikan kuasa kepada rakyat. Namun, persoalannya, berapa ramai rakyat yang punya kelayakan untuk memilih pemimpin? Berapa ramai yang mempunyai ilmu, kefahaman dan prinsip yang tidak boleh dibeli oleh wang ringgit dan tidak mudah ditipu oleh media yang bobrok? Adakah semua rakyat layak untuk memilih pemimpin?

Ha ha ha. Saya bukan menolak pilihanraya dan demokrasi. Setakat yang sedang dilaksanakan didunia zaman ini, sistem demokrasilah yang terbaik untuk membentuk sistem bernegara. Saya yakin sistem Islam yang terbaik. Namun kita masih gagal kemukakan model yang meyakinkan manusia-manusia sekular. Cuma disini, saya mahu anda menerima hakikat bahawa demokrasi itu sistem yang tidak sempurna. Sebagaimana manusia itu lemah, begitulah demokrasi ciptaan manusia ini lemah dan boleh dimanipulasi oleh tangan-tangan jahat.

Saya percaya menyertai pilihanraya itu wajib. Mengundi juga wajib. Bekerja untuk menangkan Islam juga satu kewajipan. Cuma, saya melihat bahawa dalam kita berpilihanraya, kita perlu melihat pilihanraya ini dari perspektif yang lebih luas. Usah terperangkap dengan kerangka sistem demokrasi ini. Usah terjerat dengan retak gendang tempur politik ini. Perlu dipisahkan antara medan tempur pilihanraya ini dengan medan perjuangan yang jauh lebih luas dan besar.

Contohnya, dalam tempur pilihanraya ini, tersebut 'orang utan' sahaja sudah menjadi masalah. Masalah, sebab ia boleh diputar belit. Dituduh sebagai menghina, tidak berakhlak, kasar, celupar, mengata orang dan lain-lain. Sedangkan dalam medan juang yang luas ini, tidak salah kita mengkritik walau pun mengaitkan dengan binatang seperti lembu dan lain-lain. Dalam Quran pun ada.

Jadi, jangan kita terperangkap sama mengatakan Tok Guru yang menyebut 'orang utan' kepada pihak lawan sebagai salah. Sebetulnya bukan salah, tapi tersilap kerana faktor masa. Masa pilihanraya ini segalanya sensitif. Tak bersalam pun dikira jahat sejahat-jahat. Padahal tak bersalam itu pasti ada sebabnya. Ada alasannya.

Secebis silap pihak BA, akan diperbesar-besarkan seantero dunia. Silap pihak BN didiamkan sahaja. Tapi inilah medan tempur pilihanraya. Bertempur di padang yang senget. Dengan 'hakim'nya (pengundi) yang mudah diperdaya.