Thursday, August 28, 2008

Anda Golongan Islamis?

Dalam beberapa penulisan antaranya 'After Jihad: America and the Struggle for Islamic Democracy' oleh Noah Feldman, perkataan Islamists atau Golongan Islamis merujuk kepada golongan pencinta Islam yang menyokong dan mendokong Islam sebagai satu sistem hidup yang perlu ditegakkan melalui segenap upaya termasuk melalui perjuangan siasah atau politik.

Golongan Islamis atau ringkasnya Islamis meyakini bahawa Islam adalah menyelesai kepada kemelut politik, ekonomi, sosial dan pendidikan dan manusia perlu kembali kepada Islam bagi mewujudkan keamanan dan kemakmuran sejagat.

Melihat kepada definisi di atas, adakah anda Islamis?

Secara umumnya Islamis muncul apabila umat Islam mula meraba-raba mencari satu pusat kuasa politik yang boleh dijadikan sandaran bagi membela Islam. Titik mula kehilangan kuasa umat Islam biasanya merujuk kepada kejatuhan rasmi Khilafah Usmaniah yang diganti dengan puak fanatik sekular Turki diketuai Mustafa Kamal. Hakikatnya kepimpinan politik umat Islam telah pun lumpuh sebelum itu lagi melalui proses yang panjang akibat kelemahan dari sudut aqidah, disiplin, ilmu dan budaya.

Kemunculan golongan Islamis terserlah melalui beberapa tokoh reformasi Islam seperti Shaikh Jamaludin Al Afghani, Shaikh Muhammad Abduh dan Shaikh Rashid Ridha. Diikuti beberapa tokoh lain diperingkat negara dan tempatan. Namun begitu organisasi utuh golongan Islamis yang menekankan disiplin jitu serta perkaderan yang cekap mula terbentuk selepas Ustaz Hassan Al-Banna menggerakkan sistem usrah dan menubuhkan al-Ikhwan al-Muslimun. Pemikiran dan pergerakan Abu A’la al-Maududi di Pakistan juga memberikan nafas kepada golongan Islamis.

Pemikiran tokoh-tokoh Islamis di atas serta model sistem al-Banna kemudiannya menjadi rujukan pencinta Islam di negara-negara lain. Atas prinsip tersebut, serta dengan beberapa penyesuaian setempat dan semasa, maka gerakan Islam dibina di serata dunia termasuk Malaysia.

Di Malaysia PAS adalah antara gerakan Islam terbesar yang didokong oleh kelompok Islamis ini. Namun terdapat juga gerakan Islam lain seperti ABIM dan JIM serta Haluan yang didokong Islamis dan menggunakan sebahagian dari acuan Ikhwan.

Jika anda pendokong dan penyokong gerakan Islam, maka saya berpendapat anda termasuk golongan Islamis. Jika belum, wajarlah anda menimbang untuk sertai gerakan Islam…

Tuesday, August 26, 2008

Pemimpin PAS dan kekayaan

Menjadi satu kaedah yang difahami umum bahawa harta dan kebendaan adalah alat untuk mencapai matlamat. Maknanya, harta dan kekayaan itu bukan satu cita-cita atau hasrat yang dikejar, tetapi ia sekadar alat yang digunakan untuk membolehkan dan memudahkan hasrat yang lebih basar iaitu keredhaan Allah, dapat dicapai. Tetapi tarikah harta dan kekayaan amat kuat sehingga sering kali, harta dan kekayaan itu memesongkan arah sehingga perjalanan ke arah kutubnya; bukan kutub asal iaitu keredhaan Allah SWT.

Kaedah dan senario di atas juga berlaku dalam konteks organisasi Islam. Pemimpin dan pendokong PAS terkenal dengan kesederhanaan dalam soal kekayaan dan harta. Tokoh-tokoh seperti Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Abdul Hadi menjadi ikon penting kehidupan bersederhana pemimpin gerakan Islam itu. Bahkan watak keserhanaan itu adalah antara tarikan tersendiri yang telah melembutkan hati sekian ramai mad’u untuk mendekati seterusnya mendakap PAS.

Watak kesederhanaan PAS juga ada pada ramai pemimpin PAS lain yang selesa dengan kenderaan yang berkualiti dan selamat tapi sederhana dan tinggal di rumah yang biasa-biasa sahaja, serta teguh berkorban demi Islam. Mereka lah antarasebab yang mendorong generasi tua dan muda untuk istiqamah dengan PAS.

Keadaan ini selari dan selaras dengan realiti PAS yang terus hidup atas pengorbanan pemimpin, pendokong dan ahli-ahlinya. Pengorbanan yang kadang-kadang memaksa ahli-ahli PAS mengenepikan keperluan sendiri demi sumbangan kepada parti. Pengorbanan yang merelakan ahli-ahlinya dihimpit dengan kesulitan hidup demi mempertahankan keutuhan jamaah.

Namun hari ini, kelihatannya sebahagian pemimpin PAS diberikan rezeki oleh Allah dan hidup dalam kemewahan. Seperti yang telah disebutkan tadi, tidak salah untuk menjadi kaya, mewah dan berharta. Bahkan kita pun mahu lebih ramai orang kaya yang baik dan bertaqwa termasuk dari kalangan ahli dan pemimpin PAS. Namun tidak salah juga untuk kita melihat apa yang berlaku ini dari sudut yang lebih kritis agar kita tidak terjebak dalam lembah yang tidak diingini.

Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian dalam hal berkaitan kekayaan yang dimiliki oleh pemimpin gerakan Islam.

Pertamanya, usahlah kekayaan menyebabkan dia menjadi lagha dan leka sehingga lebih banyak memikirkan dan membicarakan soal keduniaan daripada soal Islam, perjuangan dan akhirat.

Kedua, janganlah kekayaan itu menjarakkan dirinya dengan masyarakat umum, ahli-ahli dan pendokong jamaah. Lebih pedih lagi jika kekayaan itu membenihkan kesombongan dan menghilangkan rasa kasih kepada golongan miskin dan melarat.

Ketiga, kekayaan yang dimiliki tidak seharusnya mengurangkan tumpuan, kualiti dan kuantiti ibadahnya kepada Allah; bahkan seharusnya kekusyukan jadi berganda lantaran bertambahnya kesyukuran kepada Allah.

Keempat, jangan pula daya juang, kesediaan untuk berkorban, kesanggupan ditindas atau ditangkap demi jihad menjadi luntur akibat terpaut dengan keempukan harta dan kekayaan.

Selain itu, apa yang penting juga kekayaan yang diperolehi itu mestilah dari sumber yang bukan sahaja halal, bahkan tidak menjadi fitnah kepada perjuangan Islam. Sumber yang boleh dipertikaikan dari sudut kebersihan perlulah dijauhi.

Lebih jauh lagi, seseorang yang sanggup menjadi pemimpin PAS mestilah sanggup berkongsi keperitan hidup dengan ahli-ahlinya yang sentiasa rela berkorban demi Islam. Mungkin ada yang beralasan bahawa kemewahan dan kekayaan yang diperolehi adalah rezeki halal hasil titik peluh sendiri dan ia tiada kaitan dengan kesusahan ahli-ahli. Persoalannya, adakah kebajikan ahli-ahli telah terbela.

Dalam konteks harakah Islam, ukhuwwah perlu dibuktikan dengan memastikan setiap ahli yang mengalami kesulitan hidup dibantu dengan memberikan mereka ruang dan peluang untuk memperbaiki taraf kehidupan masing-masing. Adakah soal ini sudah diambil kira?

Demikianlah beberapa pandangan berkaitan pemimpin PAS dan kekayaan. Memang Islam memberikan kebebasan untuk umatnya memiliki kekayaan sebanyak mungkin. Namun sirah Rasul SAW, sahabat dan sejarah tokoh-tokoh hebat menunjukkan kebanyakan mereka memilih hidup sederhana walau pun mempunyai ruang yang luas untuk menjadi kaya.

Monday, August 25, 2008

Polemik muzakarah menguji keutuhan PAS

Saya percaya bahawa badai polemik muzakarah yang melanda PAS tidak akan melemahkan parti itu. Namun sedikit sebanyak ia mendorong para pimpinan dan pendokongnya untuk muhasabah tentang keutuhan parti sebagai sebuah gerakan Islam dan badan politik.

Isu ini jika dilihat dari sisi negatif menunjukkan berlakunya pertembungan idea antara dua kelompok. Satu pihak mahu mendekati UMNO sebagai sasaran dakwah walau pun komited dengan Pakatan Rakyat. Di pihak lain kelihatan mahu mengelak terus dari berurusan dengan UMNO bagi menjaga kepercayaan rakan Pakatan dan para pengundi terutamanya dari kelompok bukan Islam. Polemik ini bertambah runcing bila Presiden UMNO mendedahkan berlakunya tiga pertemuan dengan PAS. Reaksi berbeza berkaitan pertemuan itu menambahkan kekusutan dalam perbezaan pendangan ini.

Dari sisi positif, polemik ini menunjukkan dinamika pemikiran di kalangan pemimpin PAS. Mereka tidak berfikir sehala sebaliknya melihat sesuatu isu dari perspektif yang berbeza-beza. Setiap sudut pandangan itu pula tidaklah bercanggah dengan syariat, cuma ia bergantung kepada pertimbangan yang berasaskan strategi dan pendekatan.

Bahkan dengan wujudnya dua pandangan berbeza, PAS secara sekali gus dapat menarik perhatian para pemerhati dan rakyat yang tentunya mempunyai pandangan yang berbeza-beza dengan muzakarah UMNO-PAS.

Misalnya dari sudut pandangan aktivis, pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat di luar PAS, mereka akan terus memberikan keyakinan kepada PAS memandangkan wujudnya ketegasan pemimpin PAS terutamanya Tok Guru Nik Abdul Aziz, untuk terus setia bersama-sama Pakatan dan mengkesampingkan sebarang hubungan dengan UMNO.

Dari sudut peminat semangat Melayu atau golongan atas pagar di kampung-kampung, sikap terbuka PAS terutamanya Presiden yang menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dapat sedikit sebanyak mengekalkan harapan serta meningkatkan kepercayaan agar PAS dapat menjadi galang ganti kepada UMNO sebagai tonggak orang Melayu.

Namun begitu andaian di atas bergantung juga kepada bagaimana PAS menguruskan polemik ini seterusnya. Tanggapan bahawa polemik ini sudah berakhir sebenarnya meleset. Isu hubungan PAS dengan rakan-rakan PR serta UMNO tidak akan berakhir dengan mudah. Apa yang penting ialah bagaimana PAS menghadapainya.

Pada hemat saya, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian berdasarkan apa yang telah berlaku. Pertamanya ialah proses membuat keputusan. Ketika PAS bersetuju untuk berjumpa UMNO kali pertama, kedua dan ketiga, siapakah sebenarnya yang membuat keputusan; Ahli Jawatankuasa Pusat, Lajnah Politik, Dewan Harian, Majlis Syura Ulama, atau Presiden? Adakah keputusan itu dibuat dengan perbincangan mendalam atau sekadar perbincangan ringkas, atau sekadar makluman?

Kalau ikut logiknya, keputusan ini sepatutnya dibuat diperingkat AJK Pusat dengan bantuan Lajnah Politik yang menyediakan bahan dan fakta untuk pertimbangan. Jika ia perlu keputusan mendesak, maka bolehlah diputuskan diperingkat Dewan Harian; namun mesyuarat AJK Pusat tetap diperlukan untuk kelulusan penuh. Perbincangan perlulah dibuat dengan mendalam dan terperinci. Dalam hal ini Majlis Syura Ulama sepatutnya tidak terlibat kerana tidak timbul persoalan sama ada pertemuan itu halal atau tidak. Dari sudut hukum pertemuan dengan UMNO adalah jelas harus, maka tinggal lagi ialah persoalan strategi, yang diluar skop peranan Majlis Syura Ulama. Cuma, mungkin Majlis Syura boleh mengemukakan garis panduan dan batas-batas perbincangan dengan pihak luar seperti UMNO.

Kedua, polemik yang berlaku ini menunjukkan betapa pentingnya wacana ilmu dan maklumat di kalangan pemimpin PAS di semua peringkat. Dalam konteks haraki, ia disebut usrah; namun kadang-kadang ada yang memandang enteng dengan peranan besar usrah untuk membentuk tafahum, wehdatul fikri dan wehdatul amal. Di peringkat pimpinan tinggi, usrah bolehlah diolah dalam bentuk wacana akademik dengan perbincangan yang serius tentang sesuatu isu yang kian mendesak lantaran perkembangan politik yang amat laju.

Pada setiap pertemuan mintalah mana-mana tiga tokoh membentangkan kertas konsep dengan tajuk sama yang penting seperti berkaitan tahaluf siyasi, bentuk pemerintahan PAS, peranan PAS dalam Pakatan, hubungan PAS dan DAP, konsep negeri dan negara Islam, pengisian kemenangan, konsep tolak ansur dalam politik, diplomasi politik, sistem kewangan dan ekonomi PAS, fiqh keutamaan dalam politik semasa, fiqh taghyir (tajdid), atau seumpamanya. Kemudian, minta perbincangan dari setiap yang hadir. Insyaallah cara ini dapat memantapkan lagi kekuatan ilmu PAS yang berdepan dengan cabaran yang semakin getir.

Dengan izin Allah, isu muzakarah-muqabalah ini sedikit sebanyak mematangkan PAS sebagai pemain penting dalam dunia politik Malaysia. Cabaran yang dihadapai menjadikan PAS semakin dewasa untuk berusaha kearah kemenangan di samping menguruskan kemenangan yang sudah diperolehi.