Wednesday, July 18, 2012

GERAKAN ISLAM DAN DILEMMA ISTILAH NEGARA ISLAM


Hari ini banyak gerakan Islam, termasuk PAS memilih untuk tidak terlalu menyebut tentang negara Islam dalam kenyataan umum. Kalau disebut pun, hanya dalam perjumpaan dalaman. Tidak sebut bukan kerana menolaknya, tapi kerana mengambil sikap berjaga-jaga. Takut-takut nanti hilang sokongan umum dan dipandang serong oleh rakan-rakan yang bersepakat dalam perjuangan politik.

Hal ini berbeza dengan zaman-zaman lepas, misalnya tahun-tahun 1980-an. Tika itu seruan ‘tegakkan negara Islam’ seakan menjadi seruan wajib dalam ceramah.-ceramah. Secara jelas disebut cita-cita untuk menegakkan negara Islam. Dibandingkan pula dengan jelas pemisahan antara negara Islam dan negara sekular. Bahkan gerakan Islam disebut sebagai Hizbullah yang berdepan dengan parti pemerintah yang digelar sebagai hizbussyaitan, atau kerap juga dianggap sebagai taghut. Mungkin ramai yang masih ingat slogan ‘runtuhkan jahiliyah dan tegakkan Islam atas runtuhan itu’. Ini cerita tiga atau empat dekad lepas.

Hari ini usahkan berceramah tentang hizbussyaitan, taghut, kafir atau jahiliah, untuk berbicara tentang daulah Islamiah atau negara Islam pun amat jarang. Ini realitinya. Gerakan Islam dalam dilemma. Perkembangan masa mengasak kita untuk sentiasa berfikir dan menilai apa yang kita pernah lakukan. Perubahan dalam aspek tertentu adalah kemestian. Namun jika kita lambat memahami perubahan dan lambat pula bertindak menyesuaikan diri dengan perubahan, kita mungkin ketinggalan.

Penelitian atas perubahan ini bukan setakat dalam soal strategi ceramah, atau strategi penampilan. Ia perlu lebih mendalam. Ia melibatkan soal manhaj, soal fiqh jihad atau fiqh harakah.

Berbalik kepada slogan negara Islam. Pada dasarnya ada beberapa sebab kenapa gerakan Islam di Malaysia hari ini kurang mewar-warkan tentang negara Islam. Pertamanya, utuk mengurangkan ketegangan dengan parti rakan dalam gabungan politik. Keduanya, kerana rakyat secara keseluruhan keliru dengan slogan ini. Jagi jika diwar-warkan mereka akan mempersoalkan kewajarannya. Bagi sesetengah mereka Malaysia sudah pun negara Islam. Ketiganya, kerajaan yang bakal ditubuhkan oleh gabungan politik yang disertai (jika menang) bukan sebuah kerajaan Islam. Jadi soal negara Islam dikira tidak relevan dalam kempen pilihan raya.  

Akibatnya, gerakan Islam, khususnya PAS tidak lagi bercakap tentang cita-cita menegakkan negara Islam, bahkan dipopularkan slogan baru iaitu ‘negara berkebajikan’. Cuma, bila diasak oleh orang lain, barulah disebut bahawa cita-cita negara Islam tidak digugurkan. Dikatakan juga bahawa negara berkebajikan itu sebenarnya jelmaan kepada hasrat negara Islam. Hakikatnya PAS dalam dilemma.

Dilema PAS dalam isu status negara Islam boleh dilihat dengan jelas jika kita meneliti persepsi umum berkatan dengannya. Jika ditanya kepada rakyat Malaysia ‘adakah Malaysia negara Islam?’, kita pasti menemui pelbagai jawapan berbeza, beserta dengan alasan berbeza.

Mereka yang cintakan agama terbahagi kepada dua. Satu kelompok menjawab bahawa Malaysia negara Islam dengan harapan agar status ini mengukuhkan kemajuan Islam dalam negara. Kelompok yang lain akan menjawab bahawa Malaysia ini negara sekular dengan harapan golongan yang berkesedaran akan berusaha untuk menjadikan Malaysia ini negara Islam. Hari ini PAS memilih aliran kedua. Pendekatan manakah yang lebih baik?

Dari sudut akademik dan perbahasan ilmiah, kedua-dua pendekatan mempunyai hujah. Kedua-duanya adalah ijtihad yang boleh jadi benar dan salah. Pendekatan pertama mempunyai manfaat yang banyak. Ia menjadi asas yang kuat untuk mendesak perlaksanaan Islam. Namun kenapa PAS masih mempertahankankan pendekatan kedua?

Jika diteliti dari sudut susur galur perjuangan PAS, pendekatan menganggap Malaysia sebagai negara sekular dan bukan negara Islam berkait rapat dengan kedudukan PAS sebagai sebuah parti pembangkang sejak sekian lama. Sebagai pembangkang tentunya melebelkan pemerintah sebagai sekular akan lebih mudah menarik sokongan mereka yang cintakan Islam.

Namun begitu apa yang lebih penting pendirian ini berkait rapat dengan hakikat PAS sebagai sebuah harakah Islam. Matlamat gerakan Islam adalah untuk membina peribadi Islam, seterusnya keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan dunia Islam.  Bahkan ada kalangan penulis yang menganggap gerakan Islam itu sendiri dianggap sebagai jelmaan negara Islam selama mana negara Islam belum tertegak.  Jadi jika mereka menganggap negara yang didiami sebagai negara Islam, maka kewujudan gerakan Islam itu sendiri dikira tidak relevan.

Selain itu, hal ini juga berkait dengan kefahaman tentang definisi negara Islam yang selama ini diajar kepada sekelian pendokong PAS. Mereka dididik bahawa negara Islam adalah negara menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber yang tertinggi. Negara Islam hanya berlaku apabila prinsip ini tercatat secara jelas dalam perlembagaan negara. Tanpanya, negara itu belum boleh dianggap negara Islam.

Melihat kepada alasan kepada pendekatan PAS diatas, kelihatan bahawa agak sukar bagi PAS untuk mengubah pendirian. Namun, PAS perlu realistik, dan perlu bersedia untuk berubah. PAS perlu berfikir sebagai bakal peneraju kerajaan. Bukan lagi sebagai pembangkang. Hakikatnya banyak pihak sudah mengakui bahawa Malaysia adalah negara Islam.  Bagaimana jika Pakatan Rakyat menang dan PAS adalah sebahagian dari kerajaan? Adakah Malaysia negara sekular? Atau negara liberal? Atau bagaimana.

Saya mencadangkan PAS mengakui bahawa Malaysia adalah Negara Islam. Iaitu sebuah Negara Islam Demokratik yang dipimpin oleh sebuah kerajaan nasionalis.  Kenapa? Bagaimana? Nanti akan dibahaskan insyaalah.  

No comments: