Tuesday, October 27, 2009

Konflik dalaman: PAS perlukan New Deal

Dalam posting selepas episod UG saya ada mencatatkan beberapa akar umbi kepada konflik PAS. Antaranya ialah:

  1. Kurang penegasan terperinci dalam beberapa isu kritikal. Sebenarnya jauh dibelakang isu ini terdapat satu kecenderungan berbeza dalam melihat beberapa isu besar.: cth soal kedudukan Islam-Melayu dan bukan Islam, isu hak Melayu-Islam danpersamaan hak, isu dakwah dan strategi politik. Isu tahaluf dan aqad politik. Setakat ini belum adakejelasan dalam falsafah berkaitan beberapa isu: Contoh perimbangan antara melindungi hak bumiputera (Melayu-Islam) yang sedia didokong oleh kerajaan BN dan dipertahan kuat oleh UMNOdan meritokrasi antara kaum yang dipegang oleh Pakatan Rakyat. Perimbangan antara keperluan menyempaikan Islam kepada musuh termasuk UMNO melalui muzakarah etc dan penjagaan kepada strategi parti untuk elak perangkap musuh. Maka untuk jangka masa panjang, persoalan ini perlu diperincikan sebagai satu hala tuju parti.
  2. Kelemahan dalam sistem membuat keputusan—sepatutnya diselesaikan secara dalaman—tapi gemar membawa keluar tanpa bincang di dalam dulu.
  3. Kurangnya ukhuwah dan tasamuh dalam mendepani sesuati masalah dan isu.
  4. Beberapa komunikasi politik secara sulit antara pemimpin PAS dan UMNO sejurus pilihanraya 2008, memburukkan lagi persepsi terhadap dialog dengan parti lawan ini walaupun perkaitannya tidaklah secara langsung. Komunikasi sulit ini mungkin ada justifikasinya, namun hakikat ahli sensitif dengan aktiviti sebegini tidak boleh dipertikaikan.
  5. Kegemaran sesetengah pihak untuk menonjolkan pendirian di luar mesyuarat sebagai startegi untuk mendesak rakan-rakan dalam jamaah menyokong pendiriannya.
  6. Gagal memahami mainan media yang melaga-lagakan antara satu dengan yang lain.

Selepas tulisan itu timbul isu arak dan Selcat yang memeningkan kepala pemimpin dan ahli PAS termasuk Tok Guru Nik Aziz. Kedua-dua isu ini juga berpunca dari masalah sama. Selain itu kelambatan PAS mengatasi konflik secara dalaman (seperti arak dan Selcat) juga menjadikan masalah semakin membarah.

Saat ini PAS berdepan lagi dengan konflik. Lontaran idea EGM oleh Tok Guru Nik Aziz memang menggemparkan. Walau pun cadangan itu agak ganjil dan 'terlalu laju', namun motif asalnya tidak boleh diabaikan.

Bagi saya tiada pertukaran kepimpinan yang perlu atas alasan mereka pro UMNO. Kalau perlu pun mungkin dengan alasan lain. Contohnya Pesuruhjaya Selangor boleh diserahkan kepada orang lain yang lebih erat dengan tarbiyyah haraki dan lebih seimbang dalam menilai antara ketuanan Melayu dan kesetiaan dalam Pakatan. Begitu juga SU Agung mungkin boleh diserahkan kepada yang lebih muda, lebih diterima ramai, energetik, dan mampu menggerakkan kepimpinan atasan.

Tekad Baru

Selebihnya tidak perlu ada pertukaran. Tidak perlu EGM. Yang perlu ialah komitmen baru, Tekad Baru atau New Deal. Tekad Baru ini adalah satu perincian kepada konsep kerjasama dalam PR serta satu janji PAS kepada rakan-rakan dan rakyat berbagai kaum di Malaysia melalui wadah Pakatan Rakyat.

Tekad Baru ini perlukan persetujuan semua pihak samada yang agak konservatif mahupun liberal (kumpulan-kumpulan ini tidak wujud secara sebenar tetapi melalui aliran berfikir spontan) (Anda boleh baca perbezaan dua kumpulan ini dalam posting saya yang lepas). Oleh itu Tekad Baru ini perlu dibuat secara terperinci dengan perbahasan mendalam selepas kajian yang menyeluruh. Tekad Baru ini perlu menyentuh SEMUA isu-isu sensitif termasuk, konsep negara Islam, isu arak, isu ketuanan Melayu, isu tempat ibadat bukan Islam, pelaksanaan hudud dan lain-lain.

Perlu diingat Tekad Baru ini bukan untuk mengubah Perlembagaan PAS dan asas penubuhan PAS. Ia adalah ibarat satu perjanjian antara PAS dan rakyat melalui landasan Pakatan Rakyat. Perjanjian ini termeterai melalui dua peringkat iaitu melalui mandat dari rakan-rakan PR dan melalui undi rakyat yang menyokong PAS.

Selepas Muqabalah dan UG, kini EGM

Seperti yang saya ramal, masalah konflik dalaman akan terus berlaku. Anda mungkin menonton aksi drama Tok Guru Nik Aziz dan Ust Nasha 'berdamai' sewaktu mesyuarat yang dibuat untuk menyelesaikan kemelut UG dulu. Waktu saya menontonnya, saya amat percaya masalah akan berulang. Kenapa? sebahagian dari jawapannya telah saya bahas dalam tulisan yang lepas.

Waktu itu PAS tidak menyelesaikan masalah tapi menutup masalah. Ini yang dikatakan panadol. Sekadar mengatasi simptom. Penyakitnya dibiarkan terus. Kebah sekejap tapi demam balik. Nah! sekarang tengah demam.

Malam ini jam 8:30 mesyuarat serupa akan diadakan. Kita dapat jangka, akan keluar kenyataan bahawa masalah telah selesai! Semua gembira dan tiada apa lagi yang perlu diselesaikan! Saya mengharapkan pemimpin PAS tidak membuat keputusan seremeh itu. Sebenarnya akar masalah ini adalah besar dan kompleks. Gali punca masalah seluruhnya. Selesaikan masalah itu sebetulnya.

Cuba renung kenapa timbul isu ini berturut-turut. Dari isu rundingan sulit, kemudian muzakarah, ditukar muqabalah, kemudian isu UG dan kini cadangan EGM.

Diharap, kegemparan oleh Tok Guru ini bukan sahaja dapat diselesaikan dengan baik, namun dapat juga menjadi momentum baru untuk memantapkan PAS. Tukarlah cabaran menjadi peluang!