Wednesday, February 18, 2009

Pilihanraya kecil menguntungkan rakyat?

Dalam masa tidak sampai dua bulan lagi kita akan menyaksikan dua lagi pilihanraya kecil. Itu pun jika perletakan jawatan YB Elizabeth Wong ditolak oleh pemimpin partinya.  Jika perletakan jawatan itu diterima, bermakna akan berlaku pilihanraya kecil di DUN Bukit Lanjan di samping dua lagi ‘bukit’ iaitu DUN Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang.

Pilihanraya-pilihanraya ini diadakan tidak lama selepas pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang menyaksikan saingan sengit antara BN dan PAS, yang turut dibantu oleh PKR dan DAP. Beberapa minggu sebelum itu negara memberikan fokus kepada pilihanraya kecil Permatang Pauh yang mempertaruhkan Ketua Pembangkang sekarang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di Perak terdapat kemungkinan berlaku pilihanraya kecil di tiga DUN yang melibatkan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat yang meninggalkan parti masing-masing. Malah, tidak mustahil berlaku pilihanraya kecil bagi seluruh DUN di negeri Perak.

Di samping itu beberapa  piliharaya kecil mungkin juga berlaku berikutan petisyen pilihanraya yang dikemukakan oleh pihak lawan yang tidak berpuashati seperti di Parlimen Pensiangan dan Parlimen Kuala Kangsar.

Semua senario ini berlaku dalam situasi negara menghadapi ancaman kemelesetan ekonomi global yang begitu serius. Kemelesetan ini mengheret negara kearah kelembapan ekonomi dan kesempitan hidup rakyat yang mengalami kejatuhan permintaan antarabangsa dan domestic seterusnya mengakibatkan kehilangan pekerjaan, pengangguran, kenaikan kos hidup dan sebagainya.

Malah senario ini juga dilatari dengan masalah social yang melibatkan jenayah dan keruntuhan moral semakin parah, walau pun agak jarang diperkatakan. Bahkan dalam sukan pun negara mengalami zaman kemunduran yang ketara. Demikian juga dalam pendidikan, suasananya agak kelam apabila tokoh-tokoh bahasa dan sastera serta budayawan yang memang disegani, terpaksa ‘bersilat’ dengan kepimpinan negara dalam isu PPSMI.

Persoalannya, ke mana focus kita. Membangunkan ekonomi, pendidikan dan sosial negara, atau terus-terusan berkonfrantasi dalam tempurung politik kepartian.  Nampaknya budaya politik dan sistem kenegaraan kita mengheret rakyat dan teraju negara untuk terus berpolitik sepanjang masa walau pun pilihanraya umum sudah berlalu hampir setahun lalu. Buktinya, iklim politik masih hangat dan dijangka akan terus hangat seperti seolah-olah kita berada dalam tempoh kempen pilihanraya umum.

Saya berpendapat kemelut ini berlaku kerana dua faktor mudah: pertamanya, budaya politik yang dibawa oleh orang-orang politik. Kedua, kerana sistem politik dan perlembagaan kita yang membawa kea rah itu.

Budaya politik orang politik yang sentiasa cuba untuk menjadikan apa yang berlaku sebagai bahan untuk keuntungan politik menjadikan rakyat sentiasa diheret ke kancah politik. Bagi yang berkuasa, pertimbangan pentadbiran banyak dipengaruhi dengan elemen politik kepartian. Kadang-kadang berlaku tekanan dan diskriminasi politik yang menimbulkan rasa tidak puas hati yang berpanjangan. Bagi yang tidak berkuasa, setiap langkah pihak berkuasa akan dipandang dari kaca mata negatif sebagai pembangkang.

Lebih memburukkan keadaan ialah sikap orang-orang politik yang sentiasa mengintai-intai peluang untuk merampas kuasa dengan cara ‘membeli’ ahli-ahli dewan sepaya membelot. Usaha yang berterusan begini mendorong suasana politiking yang tiada penghujungnya.

Selain itu sistem politik dan undang-undang kita juga mendorong suasana berpolitik yang berterusan walau pun pilihanraya umum telah lama melabuhkan tirainya. Berikut saya perincikan beberapa aspek sistem politik dan perundangan yang mempengaruhi permasalahan ini. Beberapa cadangan pembaikan juga dikemukakan untuk penilaian bersama.

Hapuskan pilihanraya kecil

Peraturan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan setara dalam perlembagaan-perlembagaan negeri yang memperuntukkan perlu diadakan pilihanraya kecil apabila berlaku kekosongan kerusi Dewan Rakyat dan DUN. Peruntukan ini kelihatan wajar dan logik, bahkan sekian lama diguna pakai dalam negara ini tanpa sebarang pertikaian. Persoalan yang fundamental ialah: adakah rakyat memerlukan pilihanraya kecil bila berlaku kekosongan? Adakah wujud cara lain untuk mengatasi masalah kekosongan kerusi wakil rakyat?

Saya berpendapat, dalam suasana pilihanraya kecil yang kerap ini, kita wajar menimbang semula formula sistem politik ini. Dalam sistem pilihanraya di Malaysia, para pengundi memilih parti dan calon yang mereka sukai. Perkembangan mutakhir menunjukkan bahawa faktor parti jauh lebih penting daripada faktor calon dalam mempengaruhi pilihan pengundi.

Kebanyakan pengundi memilih berasaskan parti yang disukai, walau pun tidak mengenali calonnya. Kepercayaan yang diberikan sebenarnya lebih menjurus kepada parti, bukannya calon. Cuma dalam kes yang terpencil, seperti rekod calon terlalu buruk, atau seseorang calon itu amat berpenagruh, maka faktor calon tetap bermakna. Namun kes begini dianggap tidak terlalu significan dalam menentukan kepentingan rakyat dalam berpolitik.                                                               

Oleh itu, parti politik yang menang di sesuatu kerusi sepatutnya dianggap lebih berhak ke atas kerusi berkenaan berbanding wakil rakyatnya.  Wakil rakyat perlu dianggap sebagai wakil yang melaksanakan tanggungjawab parti di kerusi itu. Maka, bila berlaku kematian umpamanya, parti yang telah menang itu sepatutnya diberikan hak untuk menamakan tokoh lain untuk menjadi wakil rakyat di situ. Tanpa perlu menjalankan pilihanraya kecil, tokoh yang baru itu bertanggungjawab menjalankan amanah membantu rakyat bagi pihak parti.

Kaedah ini sekaligus dapat mengurangkan pertelingkahan dan politiking antara parti-parti politik. Pilihanraya kecil bukan sahaja mengganggu tumpuan kepada tanggungjawab kerajaan, bahkan ia juga menyebabkan berlaku pembaziran akibat perbelanjaan yang besar. Di samping itu kestabilan politik juga dapat dijaga dengan kurangnya usaha untuk meningkatkan pengaruh politik dalam tempoh selang antara dua pilihanraya.

Mengatasi masalah lompat parti

 Antara perkara yang menimbulkan sensasi politik selepas PRU 12 ialah isu lompat parti. Isu ini tidak pernah reda hingga hari ini. Ia dimulakan dengan usaha BN untuk menggagalkan penubuhan kerajaan campuran PKR, PAS dan DAP di beberapa negeri. Kemudian disensasikan lagi oleh gembar-gembur 13 September oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terkini dan yang paling memberikan impak ialah peristiwa lompat parti tiga ADUN Pakatan Rakyat Perak yang mengakibatkan tumbangnya kerajaan PR itu.

Lompat parti bukan satu tindakan yang baik. Seperti yang dihuraikan di atas, sebanyakan pengundi membuat pilihan atas faktor parti, bukannya calon. Maka tindakan melompat parti itu dianggap sebagai mengkhianati kepercayaan pengundi. Maka, saya berpandangan undang-undang perlu dipinda bagi menghalang tidakan lompat parti. Jika perlembagaan menjadi pelindung kepada lompat parti, pindaan perlembagaan wajar dibuat untuk mengecualikan lompat parti dari hak kebebasan menyertai pertubuhan.

Halangan yang dibuat bukannya dalam bentuk melarang wakil rakyat keluar parti, tetapi ia dengan cara mengosongkan kerusi wakil rakyat berkenaan jika dia melompat dan memberikan mandat kepada  parti politik berkenaan untuk menamakan tokoh lain menduduki untuk kerusi itu.

Penetapan tarikh pilihanraya umum

Satu lagi peraturan yang meningkatkan suhu politik nagara ialah yang berkaitan dengan kuasa Perdana Menteri (dan Menteri Besar) untuk menasihati YDPA (serta Sultan) bagi membubarkan Dewan pada bila-bila masa sebelum tempoh tamat penggal dewan iaitu selama 5 tahun. Kebiasaannya parti-parti poloitik akan mula memulakan kempen sekitar dua tahun setengah atau tiga tahun selepas pilihanraya yang lalu.

Tindakan ini dilakukan, memandangkan rekod-rekod yang lepas menunjukkan bahawa Perdana Menteri biasanya akan mengisytiharkan pembubaran Dewan Rakyat jauh lebih awal dari tempoh 5 tahun. Contohnya PRU tahun 1982 diadakan ketika penggal parlimen baru berusia 3 tahun 6 bulan, iaitu 18 bulan lebih awal dari tempoh yang ada.

                Saya berpandangan bahawa amalan pengumumkan pilihanraya umum mengejut ini perlu dihentikan. Perlembagaan perlu dipinda bagi memberikan kuasa dan tanggungjawab kepada SPR untuk menetapkan tarikh sesuatu pilihanraya umum dalam masa enam bulan selepas pilihanraya umum sebelumnya. Tempoh antara sesuatu pilihanraya umum dengan yang lain pula sepatutnya tidak kurang dari 54 bulan dan tidak lebih dari 60 bulan (5 tahun).

                Diharap cara ini dapat mengurangkan spekulasi tarikh pilihanraya yang mendorong parti-parti politik berkempen dan serang-menyerang,  jauh lebih awal dari sepatutnya.  Selain itu, ia juga memberikan keadilan kepada semua pihak dan secara tidak langsung mengurangkan ketegangan politik di kalangan rakyat.

                Di samping itu, perlembagaan juga perlu dipinda agar semua pilihanraya  negeri diadakan serentak dengan pilihanraya umum peringkat Parlimen. Pendekatan ini bukan sahaja dapat mengendurkan sentimen politik, bahkan dapat menjimatkan perbelanjaan pengendalian pilihanraya.  

 Cadangan-cadangan di atas bukan sahaja dapat mengurangkan percakaran politik serta menjimatkan perbelanjaan, bahkan ia juga dapat mempastikan kerajaan yang tertubuh selepas pilihanraya umum dapat tegak dengan stabil tanpa diganggu gugat dengan masalah peralihan akibat pilihanraya kecil atau lompat parti. Kestabilan kerajaan ini penting bagi memastikan perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan meyakinkan. 

Walaupun kerangka politik dan perundangan Malaysia dilatari dengan sistem dari British ala-Westminister, namun tiada apa yang dapat menghalang kita untuk merubah sistem ini sesuai dengan tuntutan masa dan pengalaman negara-negara lain.  Perkara yang paling penting bagi pembuat dasar ialah kepentingan rakyat dan negara, bukannya semata-mata untuk menjaga legasi yang nampaknya semakin banyak merimaskan kehidupan rakyat yang mengharapkan kedamaian