Sunday, November 1, 2009

Perlukah Ust Hadi berundur?

Dr Aziz Bari tidak pernah mengalah. Sekali mengasak, dia terus mengasak. Baginya Presiden dan Timbalan Presiden perlu berundur. Dijangka rentak desakannya akan turut disuarakan dalam seminar 7 Nov ini. Cuma mungkin nadanya agak berbeza.

Itu hal Dr. Aziz Bari. Beliau bebas untuk memberikan hujah. Berdasarkan pengamatannya yang tersendiri. Soalnya, adakah ahli PAS boleh menerima hujah beliau? Adakah ahli PAS bersedia untuk mencari Presiden baru. Jika Ust Hadi berundur, siapa yang akan menggantikannya?

Premis hujah beliau ialah imej parti yang kelihatan pro UMNO, dan tidak setia dengan PR. Secara mudahnya, ialah persepsi bahawa PAS mengKIANATI pengundi dalam PRU12. Persepsi itu gagal dipulihkan oleh Presiden dan timbalannya--bahkan diburukkan lagi dengan isu-isu lain.

Secara adilnya, kita boleh tanyakan: adakah benar wujud persepsi bahawa PAS mengkhianati kepercayaan rakyat (terutamanya bukan Melayu)? Jika wujud, adakah persepsi itu pada skala yang besar atau pinggiran? Jika besar, adakah persepsi itu berpunca dari tindakan pemimpin PAS itu atau kerana faktor lain?

Secara peribadi saya melihat persepsi itu wujud dan agak serius. Dan sebahagiannya berpunca dari tindakan pemimpin PAS terutamanya Dr. Hassan Ali serta beberapa tokoh lain--termasuklah Presiden dan Timbalan Presiden. Namun, saya percaya setiap mereka yang dikatakan melakukan kesilapan itu mempunyai alasan yang tersendiri. Maksudnya, mereka 'bersedia' kehilangan sokongan bukan Melayu, atas satu alasan yang 'kukuh'. Alasan itu berasaskan hujah yang selari dengan kecenderungan dan kaedah berfikir mereka. Kadang-kadang kecenderungan dan kaedah berfikir itu berbeza pula dengan pemimpin PAS lain. Di sinilah letaknya titik perbezaan yang merumitkan.

Perbezaan ini tidak boleh diselesaikan dengan pengunduran atau perletakan jawatan. Ia memerlukan medan berfikir berdasarkan ilmu, fakta semasa dan pengalaman. Juga memerlukan perbincangan secara telus, mendalam serta hati yang terbuka. Perbincangan itu perlu membuahkan satu ketetapan terperinci tentang bentuk, dasar, dan batas kerjasama politik yang dilaksanakan sekarang.

Oleh itu pada hemat saya, Ust Hadi tidak perlu letak jawatan sebagai Presiden PAS. Begitu juga timbalannya. Apa yang penting ialah untuk wujudkan kesatuan fikiran dan tindakan, melalui satu garis panduan komprehensif tentang bentuk pakatan politik. Selain itu hakisan keyakinan kepada PAS juga perlu dipulihkan dengan segera dan meyakinkan. Persepsi bahawa PAS memungkiri janji dan belot terhadap pengundi perlu dibaiki.

Setakat ini ahli PAS kelihatan masih perlukan Ust Hadi sebagai pemimpin. Belum nampak jelas penggantinya. Maka, teruskanlah memimpin. Mudah-mudahan kekurangan yang ada padanya dapat ditampung oleh timbalan dan naib-naibnya. Bila sampai masanya Allah akan menaikkan orang lain pula menggantikannya.






No comments: