Sebagai gerakan Islam yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk, PAS tentunya akan pastikan setiap langkah yang dihayun berpijak pada landasan syarak.
Soal tahaluf siyasi atau kerjasama politik bukan perkara baru bagi PAS. PAS pernah berbahas panjang sebelum memutuskan samada menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan atau tidak. Kemudian, sebelum menjadi parti komponen BN ketika mula-mula BN tertubuh menggantikan Perikatan, PAS juga membahaskan soal ini.
Namun ketika itu belum ada Majlis Syura Ulama. Walau pun ada Dewan Ulama, namun ia tidak ada peranan ala-legislatif MSU. Istilah Tahaluf Siyasi pun belum popular.
Persoalan tahaluf siyasi mula dibahaskan dengan terperinci menjelang kerjasama PAS-Semangat 46 sebelum Pilihanraya Umum 1990. Sebelum PRU 1999, sekali lagi perkara ini dibincangkan bagi menjelaskan kedudukan hukum berkaitan kerjasama dengan DAP.
Namun, posisi PAS hari ini jauh berubah. Hari ini PAS berdepan dengan realiti sebagai anggota kerajaan campuran. Kerajaan Selangor, Perak mahu pun Kedah bukan kerajaan PAS, namun kerajaan pakatan. Setiap gerak PAS akan kerap dipersimpangan antara agenda Islam dan hasrat rakan-rakan. Di sinilah perlu ada satu garis panduan tahaluf dalam pemerintahan kerajaan pakatan.
Tahaful siyasi menjelang 1990 tidak lagi relevan. Pada waktu itu, PAS berjaya meletakkan asas bahawa Islam sebagai ad-deen sebagai asas kerjasama. Hasilnya, bila kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah tertubuh, Tok Guru Nik Aziz tanpa ragu mengisytiharkan Islam sebagai addeen sebagai asas kepada tema pemerintahan kerajaan Kelantan yang berslogan Membangun Bersama Islam.
Tahaluf siyasi menjelang 1999 juga belum cukup mantap untuk dijadikan rujukan. Dokumen tahaluf pada waktu itu lebih menjurus kepada kerjasama sebagai pembangkang. Terma rujukannya adalah persetujuan untuk berpakat dengan KeAdilan dan DAP dalam soal-soal yang disepakati termasuklah dalam berdepan dengan pemerintah BN. Dalamnya tiada panduan tentang pemerintahan dalam kerajaan campuran bersama-sama parti lain, terutamanya DAP.
Pilihanraya 2008 ini memaksa PAS untuk melangkah lebih jauh kehadapan. Penguasaan di peringkat negeri bersama-sama dengan rakan pakatan lain menjadi asas pengalaman untuk memerintah negara. Namun sebagai harakah Islam PAS perlu memastikan laluan dan batasnya, agar PAS selaku komponen kerajaan tidak pula menjadi sasaran cemuhan pencinta Islam.
Selama ini PAS mengkritik kerajaan kerana tidak melaksanakan Islam. PAS juga kuat mengkritik DS Anwar ketika beliau cuba 'mengislamkan' kerajaan dari dalam dulu. Polisi kerajaan berkaitan judi, arak, pergaulan bebas, hiburan melampau, penolakan hudud, kuasa Mahkamah Syariah yang terhad serta segala macam peraturan taghut kerajaan BN selama ini menjadi sasaran PAS dan para ulama pro PAS. Maka, apa sikap PAS dalam soal-soal ini bila bersama dengan kerajaan campuran?
Tak dinafikan bahawa perkara di atas itu bukan segalanya dalam perjuangan PAS. Soal kebajikan rakyat, hak kebebasan, penentangan rasuah, keadilan sosial, serta banyak lagi tema besar yang dikongsi oleh PAS dan rakan BA lain. Mungkin ada yang berkata:"Buat apa nak bising-bising perkara ini? Kita buat perkara yang disepakati dulu? Yang tu cerita kemudian!". Ya, kita boleh berkata begitu, namun sikap ini tidak boleh menyelesaikan masalah. Jangan sampai bila ia sudah meletup dan ribut, barulah kita sibuk mencari dalil, rasional dan jawapan. Zaman defensif sudah berlalu, PAS khususnya para ulama perlu bertindak segera dan cepat.
Secara perincinya PAS perlu mentajdidkan (memperbaharui-menyegarkan) Fiqh Tahaluf Siyasi yang dirangka dahulu. Selain itu, PAS juga perlu merangka Fiqh Taghyir (Perubahan) atau Fiqh Tajdid (Pembaharuan) bagi memberikan garis panduan dalam langkah-langkah perubahan ke arah pemerintahan Islam.
Para ulama di Malaysia amat memerlukan daya penelitian yang tajam dan luas, serta memahami waqi' di Malaysia. Hakikat bahawa negara ini berbilang kaum perlu diambil kira. Juga realiti kejahilan umat muslim dan non-muslim tentang Islam dan pemerintahan Islam juga perlu diperhatikan. Usah terlalu terikat dengan fatwa ulama dibenua Arab atau Indo-Pakistan. Latar budaya dan komposisi agama di sana jauh berbeza.
Ulama haraki di Malaysia perlu mampu berdiri sendiri merangka fiqh yang sesuai dengan realiti. Usah syok sendiri sehingga lupa untuk mendapatkan pandangan dari pakar politik, pakar undang-undang semasa, pakar antropologi dan ekonomi. Fiqhul Waqi' tak akan mampu dikuasai tanpa pandangan dan panduan dari pakar-pakar disiplin ilmu lain.
Bila PAS bersama dengan parti-parti lain menubuhkan kerajaan campuran, persoalan-persoalan asas ini perlu diteliti agar setiap tindakannya tidak merempuh batas syarak:
1. Adakah asas PAS menyertai pakatan itu?
2. Adakah penyertaan itu membolehkan PAS melaksanakan Islam? Jika tidak, adakah penyertaan itu mendatangkan lebih banyak manfaat dari mudarat? Atau ia dikira memilih mudharat yang ringan antara dua mudharat? Perincikan apakah manfaat dan mudarat yang dimaksudkan itu.
3. Apakah yang perlu menjadi syarat asas penyertaan PAS dalam kerajaan campuran itu? Jika berlaku pelanggaran syarat oleh rakan-rakan, apakah tindakan PAS?
4. Sejauh manakah PAS boleh berkompromi dalam soal hudud, judi, arak, dan seumpamanya?
5. Adakah kompromi itu bermaksud 'penangguhan pelaksanaan Islam'? Jika ia ditangguhkan, sampai bila ia akan tamat?
6. Apakah dalil dan hujah yang mengizinkan tindakan-tindakan PAS di atas?
Harap-harap, para ulama PAS dengan bantuan ulama-ulama lain termasuk dari IPT, pondok dan lain-lain--juga ulama antarabangsa-- dapat duduk dan memerah otak bagi meletakkan garis panduan ini.
Dalam pergolakan politik hari ini, tak mustahil PAS dan rakan-rakan akan memerintah Malaysia dalam masa yang sangat dekat. Keperluan kepada perkara ini amat mendesak dan penting. Hari ini pun saya percaya pimpinan PAS di Perak dan Selangor dalam teraba-raba menantikan panduan syarie kerja berkerajaan campuran. Jangan pula satu hari nanti penceramah bebas atau NGO Islam, serta rakyat akan berkata:'Apa beza PAS dengan UMNO--kedua-dua tak laksana Islam". Masa tu baru lah baru lah nak menggelabah.
1 comment:
Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kelompok ini perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu
Post a Comment