Monday, March 24, 2008

Tahun 2008 memahat sejarah politik

Pilihanraya 2008 memberikan warna baru kepada politik Malaysia. Walau pun pertukaran kerajaan Persekutuan belum berlaku namun banyak peristiwa besar yang menggemparkan negara telah muncul.

1. Kemenangan besar pakatan pembangkang yang mula disedari malam 8 Mac atau awal pagi 9 Mac lalu mengejutkan rakyat. Bukan rakyat sahaja, pemimpin-pemimpin politik, petugas parti dan sekalian rakyat, termasuk mereka yang mengundi begitu terkejut dengan apa yang berlaku. Pada malam tu saya, isteri, ayah, mak dan adik beradik lain berada di Jertih. Sedang mengikuti urutan keputusan dari siaran TV yang lembab itu, saya menerima SMS dari abang sekitar jam 11.00 malam: 'sah BA kuasai 5 negeri: kelantn, kedh, png, slgor,perak'. Saya bacakan SMS tu kepada semua. Masing-masing teruja dan terkejut. Saya percaya ramai yang begitu.

2. Pemerintahan parti bukan BN di Selangor dan Perak adalah satu yang diluar dugaan. Seingat saya tak ada pemerhati politik yang meramalkan demikian, kecuali Tun Daim. Daim Yang Diam itu memang jarang buat public statement. Tapi hari itu--dalam tiga bulan sebelum pilihanraya--dia beri amaran dengan meminta BN berhati-hati dengan negeri Kedah, Penang dan Selangor. Pemerhati yang lain, baik ahli politik mahu pun ahli akademik tidak membuat ramalan kukuh tentangnya. Memang ada ucapan-ucapan tokoh politik yang menyebut akan menguasai negeri-negeri ini, namun ia lebih bertujuan untuk menaikkan semangat, bukan benar-benar serius.

3. Kemelut penubuhan kerajaan-kerajaan negeri juga menarik. Tahun 2008 menyaksikan dua negeri BN berdepan dengan konflik hebat. Pendekar Shahidan Kassim cepat mengalah. Ini kerana dia dah tahu dia susah bertahan sebab memang kebanyakan calan pro kepadanya tak disenaraikan untuk DUN. Sheikh Ahmad Radzi dan adik Sultan telah memainkan peranan dari awal lagi. Di Terengganu keadaannya lain. Idris Jusoh pandai main wayang. Dia tahu Baginda tak gemarkan dia. Tapi dia tahu Pak Lah memerlukan dia, maka dia menggunakan kedudukan itu untuk membuat percaturan sejak dari pemilihan calon. Hampir semua yang bertanding pro dia. Atau sekurang-kurangnya tak berani lawan dia. Tinggal Ahmad Said yang sikit samseng, berani nak engkar kehendak Idris. Maka Ahmad Said dipilih istana untuk menjadi Menteri Besar. Episod MB Terengganu belum berakhir hingga saat ini. 22 Adun yang khabarnya 'dikurung' oleh Idris masih bertegas mahukan Idris. Kita tengok siapa yang paling degil...

4. PRU ke12 menyaksikan sokongan orang Melayu kepada DAP dan orang bukan Melayu kepada PAS bukan lagi suatu yang pelik. PAS bergerak ke arah kematangan politik. Ini fasa baru buat iklim politik PAS. Era Kiri, era Islam nasionalis, era kepimpinan ulama dah pergi. Kini era keterbukaan. PAS terbuka kerana tidak mencatatkan kalimah 'negara Islam' dalam manifesto, juga terbuka kerana meletakkan seorang calon bukan Islam di Johor. PAS terbuka kerana sudi bekerjasama dengan DAP dalam agihan kerusi dan kempen pilihanraya, walau pun melalui PKR. Orang PAS berkempen untuk mengundi DAP. PAS terbuka kerana tidak lagi membangkitkan soal agama calon dalam kempen pilihanraya. Keterbukaan PAS ini berkesan dan disambut meriah oleh penyokong dari masyarakat India dan Cina. Mereka tak segan silu membuka pos PAS dan membawa bendera dan logo PAS. Hasilnya PAS banyak menang dikerusi campuran, walau pun gagal menang di kerusi majoriti Melayu termasuk yang pernah dimenangi pada tahun 1999, seperti di sekitar Sabak Bernam, Semantan, Tahan, Jerlun, dan beberapa kerusi di Terengganu.

5. Kerajaan campuran melibatkan PKR, DAP dan PAS merupakan fenomena baru. Walau pun ada sedikit kacau di Perak, namun ia sangat cepat diselesaikan. Nampaknya rakyat kelihatan selesa dengan kerajaan baru. MB baru yang dilantik punya kekuatan tersendiri. Tan Sri Khalid nampaknya mampu menandingi populariti Khir Toyo atau Mat Taib. Ir Nizar pula punya tarikan tersendiri dalam meraih perhatian masyarakat Cina, India dan Melayu. Beliau cuma perlu buktikan ketangkasannya mentadbir. Buat masa ini kerajaan 3 serangkai ini kelihatan lebih stabil dari sesetengah kerajaan negeri BN terutamanya Terengganu dan Perlis. Sebenarnya kemelut di Terengganu itu banyak membantu menutup mulut BN untuk mengkritik kerajaan-kerajaan Barisan Rakyat.

6. Kegagalan BN mendapat majoriti 2/3 mengundang krisis teruk dalam BN. Gelombang krisis itu tidak kelihatan dari luar. Tapi saya percaya ia lebih dahsyat dari yang kita ketahui. Ibarat bisul. Saiznya nampak besar. Ubat yang disediakan Pak Lah tidak mujarab, dia makin merebak dan tunggu masa untuk meletup.

No comments: