Istilah negara Islam hari ini kelihatan sebagai satu istilah yang menakutkan bagi sesetengah pihak. Banyak pihak cuba mengelakkan dari menggunakan perkataan ini dalam ucapan dan tulisan. Ada juga yang mahukan perkara ini dilupakan dahulu.
Namun saya mahu perkatakan juga tentang perkara ini.
Masalah utama tentang negara Islam ialah kekurangan maklumat dan salah faham. Salam faham dan kekeliruan berlaku dalam beberapa peringkat, contohnya:
1. Salah faham dan kekeliruan dalam soal ISTILAH negara Islam
2. dalam soal sama ada istilah itu wajib digunakan atau tidak
3. dalam soal kerangka perlembagaan (constitutional framework) dan pengisian (substance) negara Islam
4. dalam soal KEUTAMAAN dalam pelaksanaan Islam
5. dalam soal keserasian (compatibality) negara Islam dan demokrasi
Kesannya Negara Islam ditakuti, digeruni dan dianggap sebagai sesuatu yang perlu dilupakan (atau diabaikan buat sementara). Bahkan ada dikalangan pendokong Islam pun yang cenderung untuk mengenepikannya dahulu. Bagi saya pendekatan ini terpesong.
Ya. Kita terima hakikat bahawa istilah Negara Islam telah disalahfahami. Namun ini tidak bermakna kita perlu meninggalkan perjuangannya. Apa yang perlu dilakukan ialah memberikan kefahaman dan penerangan tentangnya. Jika istilah itu ditakuti, tinggalkan istilah itu. Istilah 'Negara Islam' atau 'Islamic State' bukan segala-galanya.
Bahkan jika dilihat dari skop yang lebih luas, agenda Islam bukan setakat mencapai apa yang disebut 'negara Islam' itu, bahkan lebih luas. Jadi gunalah apa-apa istilah lain. Contohnya 'Agenda Islam', 'Agenda Sejagat', 'Agenda Rahmat', 'Negara Rahmat", atau 'Negara Berkebajikan'. Ya, Negara Berkebajikan itu (walaupun skopnya lebih kecil) boleh menjadi asas dalam menggariskan bentuk pemerintahan yang selari dengan Islam. Yang penting PAS yang mempelopori mesej itu dalam PRU baru-baru ini tidak melupakan Fasal 5 Perlembagaan PAS yang menyebut tentang cita-cita Islamnya.
Seterusnya susuli pula dengan penerangan, pendidikan dan penjelasan tentang agenda Islam itu. Penerangan melalui lisan, tulisan juga tindakan atau contoh teladan. Mereka yang keliru sedang memerhatikan kerajaan yang diterajui PAS di Kelantan dan Kedah. Juga menyaksikan Menteri Besar Perak serta exco-exco PAS di Perak dan Selangor. Pemimpin PAS yang punya kuasa eksekutif ini berperanan menunjukkan model agenda Islam.
PAS tidak boleh mengambil sikap bersembunyi. Mengaku tidak mahu jadikan Kedah, Perak dan Selangor negeri berkonsep Negara Islam, tetapi dalam masa sama tetap memperjuangkan agenda Islam. Benar, selagi PAS berkongsi kuasa, PAS tidak boleh secara keras menguatkuasakan agenda Islam tanpa persetujuan rakan-rakan pakatan. Tambahan pula sebahagian kandungan agenda Islam tidak tercatat dalam manifesto. Namun ini tidak pula menghalang PAS untuk berterus terang. Berterus terang bagi menjawab persoalan berikut:
1. Adakah PAS mempunyai cita-cita jangka panjang untuk melaksanakan agenda Islam?
2. Adakah PAS akan laksanakan agenda Islam di negeri-negeri yang diperintah secara bersama dengan PKR dan DAP?
3. Adakah PAS akan terus bekerjasama dengan DAP dan PKR walaupun tidak dibenarkan melaksanakan agenda Islam?
4. Jika DAP dan PKR memberikan lampu hujau, adakah PAS akan melaksanakan agenda Islam?
Soalan-soalan ini perlu dijawab dengan telus. (Saya ada cadangan formula jawapannya. Nanti ditulisan lain). Tak lama lagi (insyaallah) pakatan Barisan Rakyat akan memerintah Malaysia. PAS menjadi salah satu anggotanya. Soalan-soalan diatas perlu dijawab sebelum kekeliruan semakin parah dan membarah. Sikap menyembunyi dan berdiam diri akan menambahkan lagi kekusutan.
No comments:
Post a Comment