Wednesday, September 17, 2008

Malaysiakini mengapi-apikan perbezaan dalam PAS?

Perbezaan pendapat dalam sesebuah organisasi adalah fenomena biasa. Lebih-lebih lagi bila ia berdepan dengan satu suasana getir untuk membuat satu keputusan yang besar, penting dan sukar.

Saat ini PAS berdepan dengan saat itu. Ia perlu membuat keputusan sama ada teguh mendokong Projek Lompat dan bersama kerajaan Persekutuan PR atau tidak. Sekali imbas, tentunya PAS tidak akan teragak-agak untuk menyertainya. Bukankah PAS sejak dari dulu lagi mahu menghumbankan kerajaan UMNO/BN. Bukankah PAS telah pun bersetia dengan PKR atau dahulunya PKN (KeAdilan) sejak sekian lama. Bukankah PAS adalah komponen penting kerajaan PR di lima negeri. Situasi ini menunjukkan seolah-olah tidak perlu lagi diungkit persoalan sama ada menyokong atau tidak.

Namun terdapat sebagaian dari pemimpin dan pendokong PAS mula menimbulkan persoalan: Jika BN ditumbangkan adakah kerajaan baru PR nanti lebih baik dari kerajaan BN? Adakah mudarat di bawah BN lebih kecil dari mudarat di bawah kerajaan PR nanti? Adakah kedudukan Islam dan kuasa muslim akan lebih baik dibawah PR berbanding BN, atau sebaliknya?

Persoalan di atas kelihatan nakal dan pesimis. Namun, dalam siasah Islam, setiap fakta dan maklumat mestilah diperhalusi sebelum sesuatu keputusan itu dibuat. Maka tidak salah untuk mengemukakan persoalan demikian. Dan tidak salah untuk mempunyai pendapat yang berbeza. Kini rasanya PAS belum membuat keputusan yang lengkap--masih bayak perkembangan yang perlu diikuti sebelum keputusan dibuat. Maka tak salah untuk berbeza pandangan-- sehinggalah parti dan jamaah telah membuat keputusan lengkap. Pada masa itu barulah masing-masing perlu akur dan patuh kepada ketetapan syura.

Tidak salah untuk mempunyai perbezaan pendapat, selagi ia dibuat dengan sopan, berakhlak dan berhemah agar tidak mengharu birukan organisasi. Maka bagi saya perbezaan yang berlaku ini sihat, kecuali jika ada yang tidak ikhlas yang mahu melihat PAS rosak. Saya sedih dengan blog antihusam. Sedih dengan keghairahan Penarik Beca. Sedih juga dengan laporan Malaysiakini seperti di bawah ni:

Gara-gara projek pembentukan kerajaan baru pada 16 September seperti diura-urakan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, PAS pula yang terpaksa bertelagah sesama sendiri khususnya antara Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali.

Susulan sikap kritikal Mustafa terhadap projek Anwar dalam wawancaranya dengan Harakah dan Utusan Malaysia minggu lalu, Nik Aziz menyifatkan pengarah pilihanraya parti itu "sudah menjadi lidah Umno" dan "betul-betul serupa dengan nada presiden Umno".

Dalam kenyataannya sebagai reaksi terhadap pandangan Mustafa, Nik Aziz turut menyifatkan PAS Terengganu "telah tersalah memilih seorang pesuruhjaya" dengan membandingkan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang menganggap tersilap memilih penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tokoh besar PAS itu turut membayangkan Mustafa kemungkinan akan meninggalkan PAS dan menyertai Umno.Bagaimanapun beberapa bahagian panas kenyataan panjang Nik Aziz ini, yang dikirimkan kepada Harakah, tidak dimuatkan dalam akhbar rasmi parti itu dalam edisi terbarunya.

Tidak cukup dengan serangan itu, Nik Aziz mengulangi kritikannya kepada Mustafa dalam ceramah di Markaz Tarbiah PAS di Gombak, Ahad lepas, dua hari selepas kenyataan kontroversi itu diterbitkan.Dihubungi Malaysiakini semalam, pesuruhjaya itu enggan mengulas kenyataan Nik Aziz.

Mustafa dalam kedua-dua akhbar itu berpendapat perubahan kerajaan yang cuba diusahakan Anwar hari ini "tidak mungkin berlaku" dengan dua alasan. Pertama, pada tarikh itu, Dewan Rakyat tidak bersidang, maka undi tidak percaya terhadap perdana menteri tidak boleh dibawa walaupun majoriti ahli parlimen menyebelahi Pakatan Rakyat.Beliau juga dilaporkan berkata, secara politiknya, tidak pernah berlaku wakil rakyat kerajaan melompat parti untuk menyertai pembangkang.

Beberapa jam sebelum serangan sinis Nik Aziz kelmarin, seorang wartawan Harakah terpaksa menarik balik kenyataan penuh menteri besar Kelantan itu daripada blognya atas arahan ketua pengarang eksekutif akhbar itu Ahmad Lutfi Othman (foto kanan).

"Beberapa alasan telah diberi, namun saya pasti sebenarnya beliau tersepit. "Malangnya oleh kerana kebimbangan saya di atas beberapa sebab, saya dengan itu menarik kembali artikel tersebut dengan rasa berat hati dan merasai kebebasan bersuara telah disekat," catat Wan Nordin Wan Yaakob di blognya Politik Suku Sakat (wannordinwanyaakob.blogspot.com).

Tambahnya, seorang lagi wartawan akhbar rasmi PAS itu "turut menerima tamparan apabila seorang pemimpin menghubunginya dan meminta isu itu jangan dihebahkan, malah kenyataan Tok Guru (Nik Aziz) itu katanya (pemimpin itu) melampau."

"Saya hanya penulis picisan yang terhimpit dengan ideologi politik suku-sakat, dan inilah yang dikatakan 'Politik Suku Sakat', akhirnya saya juga yang terkena penahan mereka," kata wartawan itu lagi.Wan Nordin, yang menulis berita 'Mursyidul am mahu Pakatan Rakyat diperkukuh: Mustafa ditegur', bagaimanapun tidak mendedahkan pemimpin-pemimpin PAS yang mengganggu beliau dan wartawan wanita itu. Usaha Malaysiakini menghubunginya hari ini gagal.

Dalam kenyataan yang sama, kini beredar lebih meluas dalam kalangan penyokong PAS yang pro-kerjasama dengan Pakatan Rakyat, Nik Aziz turut melahirkan kebimbangannya apabila Harakah sendiri terlibat menyiarkan pandangan Mustafa yang meragui usaha menumbangkan kerajaan BN gaya Anwar itu. "Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Harakah boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu (Mustafa) yang merupakan pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar," kata Nik Aziz.

"Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. "Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej Harakah. Pada logiknya, pembaca Harakah akan berkurangan. "Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini."Bagaimanapun ada pihak yang menganggap kenyataan mursyidul am PAS dikarang oleh "kumpulan Erdogan", pemimpin-pemimpin muda beraliran moderat yang dikatakan diketuai oleh naib presiden PAS Datuk Husam Musa - beliau bagaimanapun menafikannya.

"Saya tidak percaya (kenyataan) itu adalah tulisan Tuan Guru Nik Aziz ataupun kenyataan yang keluar dari isi hati dan lidah beliau. "Nik Aziz yang kita semua kenal tidak pernah menyerang peribadi seseorang secara terbuka, lebih-lebih lagi sesama pimpinan PAS," kata blog Anti Husam, yang pertama kali memperkenalkan ungkapan "kumpulan Erdogan", bersempena perdana menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.

"Saya percaya Husam dan/atau kumpulan Erdogannya berperanan besar untuk mengeluarkan kenyataan tersebut... sama ada disedari oleh Nik Aziz ataupun tidak. "Mana mungkin Nik Aziz menyebut perkataan 'standing ovation' (tepukan hormat sambil berdiri) dalam kenyataannya. "Lebih-lebih lagi fakta yang kononnya muktamar memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat secara standing ovation tidak tepat sama sekali."

Pertembungan kali ini mengesahkan wujudnya dua puak, atau setidak-tidaknya dua aliran, dalam PAS yang saling berbeza pandangan berhubung isu pertukaran kerajaan pada 16 September, muqabalah dengan Umno dan kerjasama dengan Pakatan Rakyat.Namun, kenyataan senada dengan Mustafa itu bukan pertama kali dikeluarkan oleh pemimpin atasan parti itu. Naib presidennya Mohamad Sabu baru-baru ini pernah menyatakan keraguannya pada projek Anwar tersebut. Bagaimanapun, oleh kerana beliau dilihat tidak cenderung kepada kumpulan tertentu, pandangan bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu tidak menimbulkan pertikaian besar seperti Mustafa.

Lagipun, Mohamad dikatakan pro-kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan tidak selesa dengan rundingan PAS-Umno. Berbeza dengan Mustafa yang dilihat sebagai seorang arkitek dalam projek muqabalah dengan sokongan penuh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang - kedua-duanya tokoh berpengaruh dari Terengganu.

Dua aliran ini turut mempengaruhi beberapa pihak lagi dalam PAS. Badan perhubungan PAS Johor menyokong Mustafa, sementara Kelab Penyokong PAS menyebelahi Nik Aziz.Apakah kita akan menyaksikan keretakan yang lebih besar dalam PAS susulan kemenangan besar parti itu dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu yang mulai ketara menjelang dan sewaktu muktamar ke-54 di Ipoh?


No comments: