Gabungan atau kerjasama politik boleh berlaku atas beberapa pertimbangan seperti kerana hubungan peribadi yang erat antara pemimpin, kebijaksanaan dalam perhubungan awam, kebolehan berunding, kemampuan mempengaruhi orang lain, karisma pemimpin. Kerjasama juga mudah berlaku jika terdapat persamaan dalam aliran politik. Selain faktor pemersatu dalaman kerjasama politik juga boleh berlaku kerana faktor pemersatu luaran seperi bersatu demi menghadapi musuh bersama iaitu pemerintah yang menindas.
Persoalannya, apakah asas dan pertimbangan PAS bersama-sama dengan kerajaan Pakatan Rakyat? Sebelum pilihanraya, kerjasama politik PAS adalah jelas iaitu untuk menghadapi kerajaan BN. Gambaran dominan dalam fikiran pemimpin PAS adalah untuk mengurangkan kerusi BN atau sekurang-kurangnya menafikan majoriti dua pertiga. Ketika merangka pelan kerjasama, persoalan penubuhan kerajaan bersama dengan PKR dan DAP tidak menjadi pertimbangan serius.
Hari ini situasinya berbeza. PAS diambang berkerajaan. Jika perjaya Projek Lompat, PAS akan bersama rakan-rakan PR iaitu PKR dan DAP untuk menubuhkan kerajaan persekutuan Malaysia. (Mungkin juga bergabung dengan BN—seperti yang diandaikan oleh sesetengan pihak). Persoalannya, adakah PAS telah membuat pertimbangan yang jitu berkaitan dengan penyertaan dalam kerajaan ini? Adakah PAS sudah mempunyai garis panduan yang terperinci berkaitan bentuk dan wajah kerjasama yang dikehendaki?
Tidak dinafikan bahawa PAS tetap boleh menyertai mana-mana pakatan kerajaan walau pun tanpa garis panduan. Namun risikonya adalah tinggi. Ketiadaan garis panduan yang jelas akan menjadikan PAS terkapai-kapai menentukan pendirian semasa berkerajaan. Bahkan ia akan menjadikan pendekatan PAS berbeza-beza mengikut selera pemimpin atau pendokongnya. Mungkin terlalu rigid sehingga berkeras dalam perkara yang sepatutnya boleh ditolak ansur. Mungkin terlalu longgar sehingga membiarkan prinsip perjuangan tergadai.
Islam tegas berasaskan prinsip. Prinsip mengatasi kepentingan politik. Namun dalam pengurusan siasah, soal prinsip ini perlu diungkap dalam bentuk realiti melalui kertas dasar, dan panduan kerja. Maka menjadi kemestian kepada gerakan Islam untuk merangka dengan jelas garis panduan berkerjasama dalam pemerintahan.
Penyertaan PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat perlu diperhalusi agar dibuat pada asas yang jelas dan betul. Saya ada menulis tentang pertimbangan yang perlu diambil kira oleh PAS sebelum menyertai pemerintahan yang tidak berasaskan Islam. Pada dasarnya penyertaan PAS adalah atas dasar maslahah atau bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar.
Persoalannya: Apakah mudharat di bawah BN adalah lebih besar daripada mudharat di bawah kerajaan PR. Di sini perlu diperincikan apakah bukti dan andaian (berasas) yang dapat menyokong hujah berkenaan. Juga perlu tunjukkan apakah bukti penyertaan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat lebih besar manfaat dari tidak menyertai dan menyokongnya atrau menyertai pemerintahan bersama UMNO/BN.
Walau pun perkara di atas cuba difahami secara common sense bagi sesetengan pihak, namun perincian tetap perlui memastikan setiap langkah yang diambil berpijak di atas landasan yang kukuh. Tafsiran berkaitan maslahah dan mudharat bukan satu yang mudah. Pihak yang membuat keputusan perlu melihat dari segenap aspek tanpa pengecualian. Bahkan, andaian-andaian yang berasas juga terpaksa dilakukan bagi menjangkakan risiko sesuatu keputusan berkenaan.
Tambahan pula terdapat sesetengah pihak yang enggan melihat soal tahaluf ini dari aspek fiqh tawazun (fiqh perimbangan). Kita pernah dengan suara yang mengehadkan penglibatan gerakan Islam dalam kerajaan dalam sebuah pemerintahan yang seratus peratus berasaskan Islam. Mereka menolak langsung kemungkinan penyertaan gerakan Islam dalam kerajaan campuran yang tidak berasaskan Islam.
Pemikiran ini banyak dilatari oleh beberapa tokoh di peringkat pertengahan kebangkitan gerakan Islam di Mesair selepas cubaan Ikhwan Muslimin untuk memerintah bersama dengan Jamal Abdul Naseer menemui kegagalan apabila Ikhwan dikhianati selepas bersama-sama menjathkan kerajaan Raja Farouk. Pengalaman pahit itu akhirnya membuahkan pemikiran yang keras dan rigid berkaitan penyertaan gerakan Islam dalam pemerintahan yang tidak berasaskan Islam.
Sedikit sebanyak pemikiran ini, yang dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti As Syahid Sayyid Qutb dan mereka yang sezaman dengannya, turut mengalir dalam pemikiran gerakan Islam di negara-negara lain termasuklah Malaysia. Bahkan buku beliau seperti Ma’alim fi Al-Toriq (Petunjuk Sepanjang Jalan) dan lain-lain masih bertahan sebagai bahan rujukan penting gerakan Islam. Pada dasarnya hujah mereka adalah bernas, dan amat sesuai dalam situasi gerakan Islam ditindas hebat dan pernah pengalami pengalaman getir ditikam dari belakang dalam kerjasama selepas penubuhan kerajaan. Namun pemikiran dan hujah mereka tidak semestinya sesuai untuk setiap keadaan dan di setiap tempat.
Hal ini terbukti apabila gerakan Islam mutaakhir ini mengambil kedudukan yang agak elastic (murunah) dalam soal siyasah syariyyah. Soal fiqh awlawiyat, fiqh muwazahan, fiqh taghyir dan tahaluf siyasi dibahas dengan lebih mendalam sesuai dengan tuntutan semasa yang mengharapkan garakan Islam memainkan peranan ditengah-tengah massa—bukan lagi meminggirkan diri sebagai kumpulan pendesak semata-mata.
Penghijrahan beberapa tokoh gerakan Islam ke Negara Eropah dan Amerika Syarikat atas faktor keselamatan telah mempercepatkan proses keterbukaan ini. Suasana nagara maju yang subur dengan amalan demokrasi membuka mata tokoh-tokoh ini tentang peluang gerakan Islam untuk bertapak melalui kerangka sistem politik berkenaan. Tentunya, demokrasi menuntut pemainnya lebih terbuka, elastic, dan mempunyai kesediaan untuk berkerjasama demi mencapai hasrat politik.
Tokoh-tokoh gerakan Islam seperti Rachid Ghannouchi, Azzam Tamimi, Muhammad Salim Al-Awa yang menetap di England antara yang kerap menyuarakan keperluan gerakan Islam bersedia untuk menyertai kerajaan yang tidak berasaskan Islam demi maslahah dan mengelakkan mudarat. Tokoh-tokoh cendikiawan Islam di Amerika Syarikat yang pernah menjadi aktivis gerakan Islam di negara-negara Arab seperti Taha Jabir Alwani, Jamal Barzanji, Mustafa Tahan dan Ahmad Totonji juga menghalakan pemikiran mereka ke arah keterbukaan, termasuk dalam soal siasah. Walaupun aliran pemikiran mereka adalah rencam dan boleh dibahas panjang, namun secara umumnya mereka telah melihat halatuju politik gerakan Islam dari perspektif yang lebih luas dan bebas.
Tokoh tersohor iaitu Syaikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi juga antara pelopor yang mengajak ke arah keterbukaan dan pertimbangan siyasi. Cetusan pemikiran beliau dalam hal ini terserlah lewat beberapa penulisan seperti Fiqh al-Daulah, Fiqh Al-Awlawiyat, Fiqh Al-Awlawiyat li Al-Harakah Islamiah. Beliau memberikan hujah panjang lebar tentang fiqh perimbangan (fiqh al muwazanah), konsep maslahah, prinsip elakkan mudharat, dan fiqh awlawiyat. Bahkan beliau menghuraikan dengan terperinci tentang penglibatan gerakan Islam dalam pemerintahan yang tidak berasaskan Islam. Beliau turut menggariskan beberapa syarat yang perlu dipegag bagi gerakan Islam yang menyertai pemerintahan yang tidak berasaskan Islam.
Sebenarnya pengalaman gerakan Islam menyertai kerjaan campuran dengan pemerintahan sekular telah pun dimulakan oleh PAS sendiri melalui kerajaan bersama dengan Perikatan. Sebelum itu berlaku juga penyertaan Ikhwan Muslimin dalam pemerintahan Jamal Abdul Nasser di Mesir. Kemudian kita dapati juga penglibatan Pak Natsir dalam politik Indonesia. Turut menjadi perhatian ialah kerjasama yang dijalin oleh Parti Refah pimpinan Erbakan dan kemudiannya dilanjutkan oleh kepimpinan Erdogan melalui Parti Kebajikannya.
Di Indonesia parti yang mirip PAS iaitu Partai Keadilan Sejahtera (PKS) menyatakan secara jelas bahawa ia sedia berkoalasi dengan mana-mana badan siasah. Apa yang menarik Presidennya Tifatul Sembiring menyatakan kecenderungannya untuk menggandingkan Presiden dan Naib Presiden dari dua latar yang berbeza iaitu Islamis dan nasionalis. Dia tidak menolak untuk bergabung dengan parti-parti nasionalis termasuklah Golkar, PDI-Perjuangan dan Parti Demokrat.
Kesimpulannya, PAS selaku gerakan Islam perlu istiqamah dalam cita-cita ulungnya untuk menegakkan pemerintahan yang berasaskan Islam. Namun realiti semasa menghalang pengakan pemerintahan itu berlaku secara mendadak. Terdapat situasi-situasi yang meletakkan PAS dalam kedudukan kritikal dalam membuat keputusan, iaitu sama ada memilih untuk menyertai pemerintahan yang tidak berasaskan Islam yang lebih adil atau membiarkan pemerintahan yang tidak berasaskan Islam yang zalim untuk terus memerintah.
Situasi ini menuntut PAS untuk bertindak berasaskan maslahah iaitu menyertainya walau pun tanpa melaksanakan syariat dengan sempurna seperti yang dicita-citakan. Sekurang-kurangnya PAS dapat melaksanakan sebahagian besar tuntutan Islam berkaitan pemerintahan yang bersih tanpa rasuah, penghapusan penindasan, keadilan kehakiman, pengagihan kekayaan sama rata dan seumpamanya. Penyertaan itu juga dapat menjadi batu loncatan untuk mencapai hasrat tinggi menegakkan pemerintahan berasaskan Islam.
Walau bagaimana pun penyertaan ini haya boleh berlaku selepas PAS meneliti persoalan fakta dan andaian yang dikatakan maslahah dan mudarat dengan terperinci. Ini kerana mungkin penyertaan yang dirasakan untuk maslahah itu akhirnya mendatangkan mudharat yang lebih besar seperti yang pernah dialami oleh garakan Islam lain.
Selepas membuat penelitian dan keputusan berasaskan syura—serahkan kepada Allah untuk memberikan hidayah dan pertolongan. Insyaallah pertolongan Allah akan datang kepada hambaNya yang ikhlas.
No comments:
Post a Comment