Thursday, July 17, 2008

Muzakarah ok, runding jangan

Tak sepatutnya berlaku rundingan antara PAS dan UMNO buat masa ini. Sebarang rundingan hanya akan membawa lebih banyak keburukan dari manfaat. Perkataan 'rundingan' disini bermaksud perbincangan tertutup untuk mencapai persetujuan yang menjurus kepada kesepakatan.

Jika PAS membuat rundingan dengan UMNO di saat ini, maka PAS akan mengalami masalah berikut:
1. PAS dilihat sebagai parti yang tak tahu berkawan dan sukar dipercayai kerana ikatan dalam Pakatan Rakyat memerlukan kesetiaan. Sebarang rundingan dengan pihak lawan bermakna mengenepikan rakan pakatan. Bayangkan jika DAP berunding dengan MCA di belakang PAS. Tentunya PAS akan rasa marah dan hilang kepercayaan kepada DAP.
2. PAS dilihat sebagai parti yang mudah ditipu sebab UMNO sudah banyak kali menipu PAS dan pernah mengkhianati kerjasama sewaktu PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan dan menjadi komponen BN suatu masa dulu.
3. Pemimpin PAS dilihat sebagai golongan opurtunis kerana UMNO tentunya menawarkan jawatan-jawatan menarik jika berlaku kerjasama.
4. Seterusnya rakan dalam PR akan hilang kepercayaan.
5. Ahli PAS menjadi keliru dan tawar hati.
6. Lebih parah lagi rakyat dan para pengundi hilang kepercayaan kepada PAS.

Buat masa ini belum wujud tanda-tanda mudarat besar berlaku dengan pengekalan PAS dalam Pakatan Rakyat. Tidak ada bukti nyata bahawa Islam akan lebih terpinggir di bawah pemerintahan PR berbanding jika PAS bersama UMNO. Bahkan tidak ada petunjuk yang dapat menunjukkan Islam akan lebih terbela dalam jangka masa lama jika UMNO memerintah bersama-sama PAS.

Yang pasti rakyat memberikan harapan besar kepada Pakatan Rakyat untuk menghapuskan mungkar tajaan UMNO termasuklah rasuah, salah urus kekayaan, pemerintahan kuku besi, agihan kekayaan tidak seimbang, penyelewengan kahakiman, dan segala macam mungkar yang mahu dibanteras bersama-sama oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Jelas dan tegas: PAS tidak perlukan rundingan dengan UMNO.

Namun saya tidak pula menolak sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara UMNO dan PAS. Bagi tujuan artikel ini, kita bezakan antara rundingan dan muzakarah. Muzakarah maksudnya berbincang. Apa salahnya PAS berbincang dengan UMNO untuk bertukar-tukar pandangan demi kebaikan rakyat dan negara. Rakan-rakan dalam PR tak berhak menghalang PAS berdakwah kepada UMNO. Lagi pun PAS dah lama mempelawa muzakarah ini. Dah berapa pucuk surat dihantar untuk bermuzakarah. UMNO sahaja yang degil dan sombong tak mahu berbincang.

Cuma perlu diingat, bila kita ada rakan dalam pakatan politik, jangan pula mengenepikan rakan. Bagi saya, muzakarah itu perlu terbuka, dan dilaporkan kepada rakan-rakan lain. Jangan sampai muzakarah bertukar jadi rundingan politik.

Kaedah ini juga terpakai untuk PKR dan DS Anwar. Saya tak tahu sama ada beliau berbincang dan melaporkan kepada rakan-rakan PAS dan DAP atau tidak, ketika berunding dengan ahli-ahli Parlimen yang akan lompat. Sepatutnya beliau telus dengan menjelaskan semua perkara kepada rakan pakatan: siapa yang dirunding, apa yang dirunding, apa 'tawaran' (jika ada), dan segala-galanya berkaitan rundingan itu. Perlu telus. Barulah pakatan politik ini membawa makna.

Bahkan sepatutnya, pihak yang mewar-warkan penubuhan kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat (PKR dan DS Anwar) sepatutnya terlebih dahulu berunding dengan rakan-rakan tentang bentuk kerajaan, pembahagian kerusi kabinet, dan rangka asas kerajaan sebelum sibuk menarik masuk ahli Parlimen BN melompat ke PR. Saya tak pasti adakah tindakan ini sudah dibuat atau tidak. Zahirnya nampak seolah-olah tiada kesepakatan padu dalam mencanag idea penubuhan kerajaan PR yang diwar-warkan itu. Sebagaimana PAS diminta untuk telus dan tidak membelakangi rakan, demikianlah PKR dan Anwar juga perlu sentiasa telus dan tidak membelakangkan PAS dan DAP.

PAS sebagai parti Islam perlu menjadi contoh kepada rakan lain. Dalam berjanji dan bersahabat, ada akhlak dan kaedahnya. Jika rakan lain tersasar PAS perlu tegur dan perbetulkan. Usahlah bertindak membalas kesilapan rakan lain dengan satu kesilapan di pihak PAS pula. Harapan rakyat khasnya pencinta Islam kepada PAS amatlah tinggi untuk melihat PAS mampu menjadi sebuah parti yang bersedia untuk memerintah dan bijaksana dalam bersepakat demi kebaikan rakyat.

No comments: