Dari muzakarah jadi muqabalah. Itu perubahan dari sudut istilah. Tujuannya untuk hentikan cerita-cerita muzakarah PAS-UMNO yang meletup selepas Pak Lah dedahkan bahawa ada tiga pertemuan yang telah dilaksanakan.
Dijelaskan lagi bahawa PAS tetap setia dengan Pakatan Rakyat. Baguslah begitu. Rakyat tak lah pening takut-takut ada mainan politik opurtunis dari pihak PAS. Jika kemenangan yang diberikan rakyat dalam PRU12 baru-baru ni dibuat atas platform janji PR dan atas semangat membara untuk menghukum BN, maka amanah rakyat itu jangan dikhianati. Sekali mengkhianati, susah untuk dipercaya kembali.
Tapi masih ada beberapa persoalan yang belum terjawab. Selagi belum jelas, selagi itu rakyat belum yakin 100%. Pak Lah kata ada 3 kali pertemuan- bila pertemuan tu diadakan? Yang didedahkan pertemuan pertama yang melibatkan Timbalan Presiden, Pengarah Pilihanraya dan YB Khalid. Yang dua lagi, siapa yang terlibat dan siapa pula wakil UMNO?
Khabarnya pertemuan pertama dihadiri untuk melengahkan UMNO dari menghalang penubuhan kerajaan PR Selangor. Dan PAS hadir sekadar untuk mendengar. Jadi, apa pula tujuan pertemuan kedua serta ketiga? Apa tujuan ia diteruskan?
Khabarnya juga dalam pertemuan pertama, UMNO menawarkan PAS untuk tubuh kerajaan bersama dan mengkhianati rakyat dan rakan sekutu. Jika betul, kenapa tidak tolak dengan tegas dan tutup pintu rundingan. Buat apa lagi berunding jika itu tujuan UMNO ajak berunding? Kenapa masih sedia penuhi jemputan rundingan kedua dan ketiga?
Jika pertemuan pertama itu berbentuk tawar menawar politik, bukan untuk kebaikan rakyat secara langsung, serta bukan untuk survival Islam dan juga bukan untuk melancarkan kerjasama antara kerajaan-kerajaan negeri PR dan kerajaan persekutuan, kenapa PAS perlu melayan UMNO untuk hadir pertemuan kedua dan ketiga?
Saya percaya tawar menawar politik dengan UMNO buat masa ini bukan satu pilihan bijak. Jika PAS lakukan sekarang PAS akan dianggap pengkhianat rakyat dan rakan. Tapi tawar menawar politik dengan UMNO bukan selama-lamanya tidak boleh. Ia akan kelihatan baik dan wajar jika berlaku sesuatu yang besar dalam landskap politik negara contohnya:
1. Jika kerajaan BN meninggalkan semua kejahatannya secara jujur dan nyata dengan menghapuskan rasuah, penyelewengan dan segala macam kebobrokannya sehingga diyakini sekalian rakyat yang selama ini menentangnya. (Andaian ini kelihatan hampir mustahil)
2. Jika rakan dalam PR iaitu PKR dan DAP berubah menjadi jahat: rasuah, salah guna harta rakyat, menindas, menipu dan sejuta kejahatan sebagaimana kerajaan BN sekarang atau lebih jahat sehingga rakyat hilang kepercayaan kepada mereka. (Andaian ini sukar untuk berlaku jika komunikasi dalam PR berjalan baik)
3. Jika kerajaan PR bertindak mengenepikan Islam dan Muslimin di dalam negara secara nyata sehinggakan kedudukan Islam di bawah PR lebih teruk dari kedudukan Islam di bawah BN. (Andaian ini dijadikan alasan sesetengah pihak--hakikatnya ia sukar untuk berlaku)
Maka, jika andaian diatas berlaku, ketika itu barulah rundingan tawar menawar politik dengan UMNO kelihatan wajar dan boleh diterima.
Buat masa ini. Semua di atas tidak berlaku dan kelihatan belum ada tanda-tanda ia akan berlaku. Maka rundingan politik PAS-UMNO untuk membuat pakatan adalah suatu yang hina dan memualkan.
Perubahan istilah muzakarah kepada muqabalah belum cukup. Perlu ada ketelusan dan komitmen yang jitu bahawa sebarang rundingan politik tidak akan berlaku lagi. Lebih baik jika mereka yang terlibat mendedahkan apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu. Biar terang dan bersuluh.
Jika muqabalah mahu diadakan, perlu detailkan apa terma perbincangan. Apa pula terma yang tidak boleh dibincangkan. Perlu nyatakan dengan tegas bahawa terma berbentuk pakatan politik yang membelakangkan rakyat dan rakan tidak akan dibenarkan.
Saya amat setuju dengan pendapat pemimpin PAS yang mengatakan bahawa rundingan politik ini adalah perangkap UMNO ke atas PAS. Tapi, yang menghairankan, kenapa ada yang tidak boleh membaca ancaman ini sehingga terjebak dalam semua masalah yang tidak sepatutnya berlaku ini. Saya fikir, ada seseorang yang perlu meminta maaf bagi merungkaikan kekeliruan ini.
No comments:
Post a Comment