Tuesday, April 22, 2008

Bagaimana kemelut Negara Islam PAS-DAP dapat dirungkai

Sekali lagi DAP menyuarakan desakan terbuka agar PAS menggugurkan agendanya untuk menubuhkan negara Islam. Seperti yang saya nyatakan dalam posting yang lalu, bahawa selagi kemelut ini tidak diselesaikan segera, ia akan menjadi api dalam sekam. Isu ini perlu dirungkai elok, bukan sahaja untuk kebaikan politik Pakatan Rakyat, bahkan juga untuk masa depan Islam.

PAS perlu tunjukkan kepada dunia bahawa Islam adalah relevan dengan realiti dunia. Bahkan pendokong Islam mampu duduk bersama-sama dengan orang lain untuk membawa dunia ke arah kebaikan. Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum tentunya menjadi tapak yang cukup cantik untuk menunjukkan betapa pendokong Islam mampu membawa perubahan ke arah keadilan, kemakmuran, kebaikan dan keamanan dunia dengan cara yang aman dan bijaksana.

Saya melihat bahawa beberapa punca utama yang menyebabkan konflik ini terus berpanjangan:

a. Keengganan kedua-dua pihak untuk mengadakan dialog secara telus dan menyeluruh dalam menyelesaikan kemelut ini.

b. Propaganda yang hodoh tentang Islam, undang-undang Islam, dan pendokong Islam, termasuk label pengganas, fanatik, radikal dan militan ke atas pencinta Islam menyebabkan negara Islam sebagai suatu yang ditakuti.

c. Kejayaan sistem demokrasi sebagai sistem politik paling stabil dan adil, di abad 20 dan di abad 21 ini menjadikan struktur bernegara yang dilihat berbeza dari demokrasi sebagai tidak realistik, zalim dan tidak adil kerana tidak demokratik.

d. Sistem bernegara secara Islam yang belum mampu menunjukkan model semasa yang dapat menggambarkan keadilan, kemakmuran, dan pembangunan yang hebat berasaskan Islam pada abad ini- bagi mengatasi kekaguman kepada sistem demokrasi.

e. Kegagalan untuk meyakinkan keindahan sistem Islam, termasuk dalam konteks bernegara kepada masyarakat bukan Islam, bahkan juga kepada umat Islam.

f. Kelemahan untuk melakukan ijtihad dalam aspek fiqh tajdid atau fiqh taghyir (Fiqh Perubahan)- contohnya bagi menjawab persoalan: 'Adakah boleh menggugurkan slogan 'negara Islam' tanpa menggugurkan hasrat Islam sebenar?', 'Adakah boleh mensyaratkan penubuhan 'negara Islam' dengan sokongan rakyat melalui pilihanraya?

e. Kelemahan dalam melakukan ijtihad dalam aspek fiqh dawlah contohnya bagi menjawab persoalan: 'Adakan mewujudkan Majlis Syura Ulama itu satu kemestian dalam sebuah negara Islam?', 'Adakah 'negara Islam' semestinya ber'syahadah'? dan seumpamanya.

f. Kelemahan dalam ijtihad dalam merangka 'tahaluf siyasi' yang baru bagi menggantikan konsep tahaluf siyasi yang lepas yang menghadkan kerjasama sebagai 'pembangkang', bukan kerjasama berkerajaan (kecuali jika Islam debagai ad-deen). Hurainnya telah saya sentuh dalam posting yang lepas. Bahkan dengan pengetahuan yang terhad ini, saya cuba untuk meberikan justifikasi kepada kerjasama PAS dalam kerajaan yang tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan.

Konflik yang berlaku ini sebenarnya bukan satu bala yang menyebabkan pendokong Islam menjadi menggelabah. Bahkan ia adalah satu cabaran yang insyaallah akan mematangkan pendokong Islam bagi merangka gagasan perjuangan bernegara secara Islam, bukan sahaja untuk negara sekecil Malaysia, bahkan untuk struktur dunia sepenuhnya.

Di sini, para pimpinan Islam perlu mengambil tindakan agresif untuk merangka fiqh siyasah baru yang semasa bagi menghadapi cabaran dunia yang besar nanti. Merangka ijtihad ini memerlukan penglibatan ulama, pengamal politik, pakar perundangan, pakar sains politik, bahkan juga pakar ekonomi, dan aktivis masyarakat. Ulama dari luar negara juga wajar dijemput bagi membuka ruang pengalaman para penyelidik.

Di samping itu usaha merancakkan dakwah, penerangan dan dialog secara berterusan perlu dilakukan bagi membaiki keadaan sekarang.

Insyaallah dengan dialog yang serius seiring dengan tajdid dalam fiqh siyasi, serta proses penerangan tentang keindahan Islam secara agresif, insyaallah konflik isu Negara Islam ini dapat dirungkaikan dengan baik.

Berikut adalah berita dari Malaysiakini, berkaitan kenyataan terkini Karpal Singh:

DAP desak PAS gugur negara Islam

Apr 22, 08 8:57pm
Pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh hari ini mendesak PAS supaya menggugurkan agenda parti itu untuk menubuhkan negara Islam.Ahli parlimen Bukit Gelugor itu berkata, janggal bagi PAS untuk meneruskan agenda negara Islamnya dan pada masa yang bekerjasama dengan dua parti lain dalam Pakatan Rakyat - PKR dan DAP."

Walaupun PAS memberi tumpuan kepada agenda Pakatan Rakyat untuk mewujudkan sebuah negara kebajikan dan memulihkan demokrasi dan urus tadbir yang baik, tetapi ia tetap dengan agendanya untuk menubuhkan sebuah negara Islam."

Kenyataan yang dibuat oleh ahli parlimen PAS bagi Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad, pastinya tidak membantu menjayakan perjuangan Pakatan rakyat," kata Karpal dalam satu kenyataan hari ini.Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik Dr Dzulkifly sebagai berkata parti itu tetap dengan agendanya untuk menubuhkan kerajaan Islam di Malaysia.

Menurut Dr Dzulkifly lagi, partinya tidak membangkitkan isu negara Islam kerana ia bukan sebahagian daripada agenda Pakatan Rakyat.Beliau berkata, pihaknya akan memberi lebih banyak masa kepada pengundi untuk memahami parti tersebut.Minta nasihat Tun SallehMenurut Karpal lagi, kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin PAS tidak membantu menjayakan kepentingan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, PAS tidak boleh melakukan dua perkara dalam satu masa."Saya ingin menasihatkan PAS bahawa parti itu mungkin perlu mendapatkan pandangan Tun Salleh Abas yang penah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dan exco kerajaan nengeri Terengganu, mengenai isu negara Islam," tambahnya.

Menurut Karpal lagi, pada 1988, Tun Salleh bersama panel lima orang hakim Mahkamah Agung, dalam satu penghakiman, telah mengisytiharkan bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam, tetapi negara sekular yang mengamalkan undang-undang sekular."

Juga tidak boleh dilupakan kenyataan Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular," kata Karpal, sambil menambah bahawa Perlembagaan Persekutuan sendiri mengandungi negara sekular sebagai salah satu struktur asasnya.'Henti buat kenyataan'

Sehubungan itu, katanya, PAS perlu memberi jaminan bahawa pemimpinnya, termasuk menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan menguar-uarkan lagi hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Menurut peguam terkenal itu lagi, tidak memberi sebarang makna bagi PAS secara terbuka mengisytiharkan bahawa ia menjadi tulang belakang Pakatan Rakyat dengan matlamat menubuhkan negara Islam."PAS sendiri tidak mampu memperolehi majoriti dua pertiga untuk meminta Perlembagaan Persekutuan untuk menubuhkan sebuah negara Islam."

PAS mesti bersikap praktikal dan berkerjasama ke arah memastikan Pakatan Rakyat menang lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang," kata Karpal, sambil menambah parti Islam itu tidak seharusnya melakukan sesuatu yang prejudis kepada gabungan pembangkang serta boleh menjejaskan usaha memperkukuhkan Pakatan.

Untuk itu, katanya, cara terbaik ialah pemimpin PAS berhenti membuat kenyataan terbuka tentang perkara tersebut.
Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, barisan pembangkang - PAS, PKR dan DAP - berjaya menawan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Kerajaan campuran di Kedah terdiri daripada PAS dan PKR. Di Pulau Pinang pula antara PKR dan DAP.

Manakala ketiga-tiga parti tersebut menubuhkan kerajaan campuran di Perak dan
Selangor.Berikutan itu, pada 1 April, pucuk pimpinan ketiga-tiga parti berkenaan
sepakat untuk merujuk keempat-empat negeri tersebut sebagai kerajaan negeri
Pakatan Rakyat

2 comments:

Ibnu Hasyim said...

Suatu penjelasan dan pendekatan fakta yang menarik..dan cantik sungguh, dihamburkan keribaan pelayar-pelayar blog. Terima kasih.

Alhamdulillah!

dari Ibnu Hasyim

yiemega said...

Suatu penjelasan dan pendekatan fakta yang menarik..dan cantik sungguh, dihamburkan keribaan pelayar-pelayar blog. Terima kasih.

harap tuan punya blog sudi bertukar link dengan saya http://suaragenerasimuda.blogspot.com
saya telah letak link blog anda