Tuesday, April 8, 2008

Bolehkah PAS menyertai pemerintahan tidak berasaskan Islam?

Penyertaan PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat bukanlah satu yang ganjil memandangkan ia adalah rentetan dari kerjasama politik dengan rakan-rakan politik lain yang telah sekian lama terjalin. Namun, terdapat juga segelintir pendokong Islam yang mahukan penjelasan syarie tentang penglibatan ini memandangkan ia adalah satu perkembangan yang agak baru kepada PAS di zaman kepimpinan ulama’ ini.

Antara persoalan yang timbul ialah: Bolehkah PAS menyertai pemerintahan Pakatan Rakyat yang tidak menjadikan Islam sebagai asas dalam pemerintahan? Tidakkah penyertaan ini akan dianggap sebagai menyokong dan menyetujui, bahkan bersubahat dengan perbuatan mungkar?

Para pendokong Islam cukup faham bahawa menegakkan pemerintahan Islam adalah satu kemestian. Umat Islam perlu berusaha untuk memastikan peraturan Islam bukan sahaja dapat diamalkan di peringkat individu dan keluarga, bahkan juga di peringkat masyarakat dan negara.

Difahami juga bahawa memerintah negara dengan membelakangi syariat Allah adalah suatu yang menyalahi kehendak agama. Islam menolak pemerintahan yang tidak menegakkan hukum Allah atau tidak mempunyai perancangan dan keazaman untuk melaksanakannya secara menyeluruh.

Fasal 5 Perlembagaan PAS secara jelas menyatakan hasrat untuk menegakkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang berasaskan Islam.

Pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah, dari sudut pandangan Islam dikira sebagai zalim. Maka, pada dasarnya Islam melarang penganutnya mendokong dan menyertai pemerintahan ini. Atas premis inilah PAS tegas tidak menyokong perjuangan UMNO sejak sekian lama.

Namun, prinsip di atas tetap ada pengecualiannya. Terdapat keadaan-keadaan tertentu yang membenarkan pergerakan Islam Islam menyokong dan menyertai pemerintahan yang tidak berasaskan Islam. Hukum siyasah Islam tidaklah rigid dan beku. Terdapat ruang keanjalan yang memberikan kelapangan dan kemudahan kepada penganut dan pejuang agamanya. Islam juga tidak mengenepikan aspek maslahah yang mengambil kira pertimbangan logik dan pengalaman dalam perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan nas qat’ie.

Melihat kepada realiti di Malaysia, beberapa prinsip, sebab dan situasi wajar dijadikan pertimbangan bagi membolehkan penyertaan ke dalam pemerintahan yang tidak berasaskan Islam:

1. Memilih mudharat yang ringan berbanding mudharat yang lebih besar. Kedua-dua pemerintahan yang digantikan dan yang menggantikan itu dianggap sebagai mudharat kerana pemerintahan-pemerintahan itu tidak meletakkan Islam sebagai asas dalam pemerintahan. Oleh kerana pemerintahan yang digantikan itu mendatangkan mudharat yang lebih besar, maka tindakan Parti Islam memilih untuk menyokong dan bersama-sama kerajaan pengganti itu berasaskan prinsip memilih mudharat yang lebih ringan berbanding mudharat yang lebih besar. Dalam hal ini, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi memetik kisah Nabi Harun yang tidak berkeras dengan penyembah patung lembu. Surah Taha, ayat 94 mencatatkan alasan Nabi Harun bahawa: Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepada ku: “Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani Israil sesama sendiri dan engkau tidak berhati-hati mengambil pesanan ku”.

2. Mengurangkan kezaliman dan mencegah mungkar setakat yang terdaya. Penindasan terhadap hak rakyat, agihan kekayaan yang tidak seimbang, rasuah dan salah urus negara, penguatkuasaan undang-undang draconian, pembaziran, dan sekatan kebebasan bersuara adalah antara bentuk-bentuk kezaliman dan kemungkaran pemerintah yang mahu dibanteras secara sepakat antara parti Islam dan rakan-rakan lain. Kemungkaran ini dapat dipadamkan dengan kekalahan pemerintahan terdahulu dan dengan tertubuhnya kerajaan campuran. Walau pun kemungkaran lain seperti sistem riba, dan keengganan melaksanakan sebahagian hukum Islam mungkin tidak dapat diatasi melalui kerajaan baru, namun ia bukanlah satu alasan untuk menolak terus peluang yang ada untuk mencegah kemungkaran-kemungkaran yang mahu dibanteras secara sepakat tadi.

3. Memanfaatkan ruang untuk menegakkan Islam setakat yang termampu. Penyertaan dalam kerajaan campuran bermakna sebahagian dari pemimpin parti Islam akan berada dalam organisasi kerajaan. Kuasa yang ada ini merupakan ruang yang cukup baik untuk melaksanakan Islam pada ruang lingkup yang ada. Kisah Raja Najasyi yang muslim tetapi tidak menguatkuasakan hukum Islam dijadikan rujukan untuk menyokong hujah ini.

4. Memanfaatkan ruang untuk menyampaikan Islam. Oleh kerana parti Islam berada di pihak kerajaan, maka sekatan-sekatan ke atas suara-suara Islam akan dapat dihapuskan. Ruang untuk menyampaikan mesej Islam, termasuk soal-soal sensitif seperti topik pemerintahan Islam terbuka luas.

5. Pelaksanaan Islam secara terhad dalam pemerintahan baru boleh dianggap sebagai sebahagian dari proses tajdid yang berlaku secara beransur-ansur. Hakikat penurunan al-Quran secara beransur-ansur, terutamanya dalam kes pengharaman arak menunjukkan bahawa proses ini adalah syarie dan sesuai dengan fitrah masyarakat yang sukar menerima perubahan mendadak. Pelaksanaan Islam secara beransur-ansur ini dilaksanakan dengan tekad yang bulat untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh apabila diizinkan Allah.

6. Penyertaan sebagai satu langkah persediaan ke arah menegakkan pemerintahan Islam. Penglibatan pendokong Islam dalam struktur pemerintahan negeri dan negara memberikan pengalaman berharga untuk meneruskan usaha memerintah secara Islam dengan cara yang sempurna. Memerintah sesebuah kerajaan hari ini bukan sahaja memerlukan sifat amanah dan tekun, bahkan ia menuntut kecekapan serta pengalaman. Ilmu dan maklumat serta pengalaman dalam aspek ekonomi, perundangan, keselamatan negara, hubungan antarabangsa serta perdagangan amat penting dalam peneraju negara. Para pemimpin dan pendokong parti Islam akan mendapat keyakinan masyarakat jika mereka terdedah dengan perkara ini melalui penglibatan dalam kerajaan campuran.

Ringkasnya penyertaan parti Islam dalam pakatan untuk menjatuhkan pemerintah zalim adalah satu kelonggaran berasaskan prinsip maslahah. Oleh yang demikian, penyertaan ini tertunya terikat dengan syarat-syarat tertentu agar matlamat penyertaan itu tadi tidak terpesong. Insyaallah kita akan bincangkan syarat-syaratnya dalam catatan yang lain.

No comments: