Wednesday, October 8, 2008

Majoriti Melayu Muslim atau Majoriti Muslim?

Harakah melaporkan bahawa Presiden PAS mensyaratkan penubuhan kerajaan mestilah dilatari oleh majoriti Melayu Muslim sebagai anggota Parlimen kerajaan. Saya tidak pasti sama ada kalimah 'Melayu' yang keluar dari mulut beliau itu adalah memang dirancang (atau diputuskan) atau ia terpacul secara spontan.

Saya suka mengandaikan bahawa ia keluar secara spontan memandangkan kita biasa menyebut Melayu bila merujuk kepada orang Islam di Malaysia. Namun begitu, wawancara beliau dengan Ummah Online semacam menafikan andaian saya. Bila ditanya kenapa Melayu, beliau menghujahkan bahawa pemilihan pemimpin mestilah melihat kepada pengaruh yang utuh(merujuk kepada kaum Quraisy sebagai syarat berdasarkan Hadis Nabi).

Pada hemat saya hujah berkenaan kurang berkait dengan perkara yang dibahaskan iaitu, majoriti ahli Parlimen. Tiada satu sandaran kukuh yang boleh mendokong syarat bahawa 'Melayu' diselitkan sekali. Sekadar 'Majoriti Muslim' sudah memadai. Biarlah ahli Parlimen Pakatan nanti majoritinya Muslim tanpa mengira warna kulit. Jika N. Gobalakrishnan dan Tian Chua masuk Islam umpamanya, maka dia turut dikira dalam jumlah majoriti itu.

Saya amat berhasrat melihat agar gerakan Islam tidak terheret dengan isu perkauman. Rakyat yang semakin bijak pada hari ini menyedari bahawa fanatik kaum tidak membawa kemakmuran. UMNO dan BN telah meninggalkan satu gambaran hodoh tentang politik perkauman. Maka PAS tak perlu terbabit sama.

Bahkan PAS perlu membuktikan bahawa Islam dan Muslim bukan untuk orang Melayu semata-mata. Jika PR memerintah nanti saya amat mengimpikan ada menteri PAS dari kalangan bukan Melayu. (sangat sokong harapan Ust Zulkarnain Abidin yang mahu melihat orang Cina jadi Naib Presiden PAS). Maka apa salahnya kita mengharapkan agar PAS memilih Ann Wan Seng (selepas dilantik Senator) menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Farid Ravi menjadi Menteri Pengajian Tinggi. Juga N. Gopbala (jika masuk Islam-Ameen) sebagai Menteri Kerjaraya (dari PAS).

Maka.... gugurkan terma 'Melayu' itu. Bukan lagi 3M tapi 2M (Majoriti Muslim)

No comments: