Monday, July 6, 2009

Wacana Negara Islam perlu tajdid

Saya membaca tulisan Dr. Asri Zainul Abidin tentang konsep negara Islam. Saya setuju bahawa perbincangan tentang ‘negara Islam’ ini tidak boleh terikat dengan kerangka kitab-kitab fekah zaman pertengahan. Jauh sekali untuk mengikut bontot wacana Syiah Imamiah. Maka para ulama’ pejuang Islam perlu lebih teliti dan berani dalam meneroka khazanah Al-Quran dan Sunnah bagi memperincikan konsep pemerintahan yang diredhai Allah.

Dalam konteks berpencak politik di pentas demokrasi, pertembungan siasah ala-demokrasi ini tidak boleh dipandang sebagai pertembungan total Islam-Jahiliyah. Aliran pertembungan total ini pernah saya ulas dalam menghuraikan kecenderungan latar pemikiran Syed Qutb dan mereka yang seangkatan dengannya. Perlu difahami, pemikiran ini dilontarkan tatkala gerakan Islam ditindas semahu-mahunya oleh pemerintah diktator.

Secara mudahnya, mungkin anda boleh letakkan istilah ‘negara Islam’ seperti istilah ‘insan soleh’. Usaha untuk menjadi insan soleh tidak pernah berhenti dan tiada kesudahan. Anda tidak boleh mendakwa, telah sempuna ‘soleh’ dan tidak perlu lagi berusaha menjadi insan soleh. Begitu juga negara. Ia adalah usaha berterusan untuk menepati citra Islam. Usaha yang tiada kesudahan. Perjuangan yang tiada nokhtah.

Cuma, dalam konteks realiti politik demokrasi, anda perlu menjawab satu soalan yang kritikal: Anda patut mendokong/menyokong/cenderung parti mana? Parti A, B atau C dan seterusnya. Ada parti yang memerintah dan ada parti yang menjadi pembangkang. (Lupakan sekejap debat ‘jemaah centric vs ummah centric’) Tentunya anda perlu bersama dengan kelompok yang menepati citra Islam. Dalam masa sama perlu menjauhi kelompok yang zalim dan korup.

Bukankah cara berfikir begini lebih ringan dan mudah, dari anda terperangkap dengan konflik falsafah ‘negara Islam’.

Saudara bolehlah teliti buah fikiran yang saya lontarkan lebih setahun dulu, kemudian bacalah tulisan bekas naqib saya di bawah sana.

http://wajahesok.blogspot.com/2008/03/pas-dan-agenda-negara-islam.html

Pas dan agenda negara Islam

Istilah negara Islam hari ini kelihatan sebagai satu istilah yang menakutkan bagi sesetengah pihak. Banyak pihak cuba mengelakkan dari menggunakan perkataan ini dalam ucapan dan tulisan. Ada juga yang mahukan perkara ini dilupakan dahulu.
Namun saya mahu perkatakan
juga tentang perkara ini.
Masalah utama tentang negara
Islam ialah kekurangan maklumat dan salah faham. Salam faham dan kekeliruan berlaku dalam beberapa peringkat, contohnya:
1. Salah faham
dan kekeliruan dalam soal ISTILAH negara Islam
2. dalam soal sama
ada istilah itu wajib digunakan atau tidak
3. dalam soal kerangka perlembagaan
(constitutional framework) dan pengisian (substance) negara Islam
4. dalam soal KEUTAMAAN dalam pelaksanaan Islam
5. dalam soal keserasian (compatibality) negara
Islam dan demokrasi
Kesannya Negara
Islam ditakuti, digeruni dan dianggap sebagai sesuatu yang perlu dilupakan (atau diabaikan buat sementara). Bahkan ada dikalangan pendokong Islam pun yang cenderung untuk mengenepikannya dahulu. Bagi saya pendekatan ini terpesong.
Ya. Kita terima hakikat bahawa istilah Negara
Islam telah disalahfahami. Namun ini tidak bermakna kita perlu meninggalkan perjuangannya. Apa yang perlu dilakukan ialah memberikan kefahaman dan penerangan tentangnya. Jika istilah itu ditakuti, tinggalkan istilah itu. Istilah 'Negara Islam' atau 'Islamic State' bukan segala-galanya.
Bahkan jika dilihat
dari skop yang lebih luas, agenda Islam bukan setakat mencapai apa yang disebut 'negara Islam' itu, bahkan lebih luas. Jadi gunalah apa-apa istilah lain. Contohnya 'Agenda Islam', 'Agenda Sejagat', 'Agenda Rahmat', 'Negara Rahmat", atau 'Negara Berkebajikan'. Ya, Negara Berkebajikan itu (walaupun skopnya lebih kecil) boleh menjadi asas dalam menggariskan bentuk pemerintahan yang selari dengan Islam. Yang penting PAS yang mempelopori mesej itu dalam PRU baru-baru ini tidak melupakan Fasal 5 Perlembagaan PAS yang menyebut tentang cita-cita Islamnya.
Seterusnya susuli
pula dengan penerangan, pendidikan dan penjelasan tentang agenda Islam itu. Penerangan melalui lisan, tulisan juga tindakan atau contoh teladan. Mereka yang keliru sedang memerhatikan kerajaan yang diterajui PAS di Kelantan dan Kedah. Juga menyaksikan Menteri Besar Perak serta exco-exco PAS di Perak dan Selangor. Pemimpin PAS yang punya kuasa eksekutif ini berperanan menunjukkan model agenda Islam.
PAS tidak boleh mengambil sikap bersembunyi. Mengaku tidak mahu jadikan
Kedah, Perak dan Selangor negeri berkonsep Negara Islam, tetapi dalam masa sama tetap memperjuangkan agenda Islam. Benar, selagi PAS berkongsi kuasa, PAS tidak boleh secara keras menguatkuasakan agenda Islam tanpa persetujuan rakan-rakan pakatan. Tambahan pula sebahagian kandungan agenda Islam tidak tercatat dalam manifesto. Namun ini tidak pula menghalang PAS untuk berterus terang. Berterus terang bagi menjawab persoalan berikut:
1. Adakah
PAS mempunyai cita-cita jangka panjang untuk melaksanakan agenda Islam?
2. Adakah
PAS akan laksanakan agenda Islam di negeri-negeri yang diperintah secara bersama dengan PKR dan DAP?
3. Adakah
PAS akan terus bekerjasama dengan DAP dan PKR walaupun tidak dibenarkan melaksanakan agenda Islam?
4. Jika
DAP dan PKR memberikan lampu hujau, adakah PAS akan melaksanakan agenda Islam?
Soalan-soalan ini perlu dijawab dengan telus. (Saya
ada cadangan formula jawapannya. Nanti ditulisan lain). Tak lama lagi (insyaallah) pakatan Barisan Rakyat akan memerintah Malaysia. PAS menjadi salah satu anggotanya. Soalan-soalan diatas perlu dijawab sebelum kekeliruan semakin parah dan membarah. Sikap menyembunyi dan berdiam diri akan menambahkan lagi kekusutan.

Tulisan Dr Asri:

Daulah Islamiyyah Dulu Dan Sekarang


oleh dr asri zainal abidin

Membicarakan soal Islam, kenegaraan, politik dan perlembagaan.

Kebangkitan rakyat Iran membantah keputusan pilihanraya mereka menjadi berita hangat di seluruh dunia. Anggapan bahawa pilihanraya mereka tidak telus dan adanya unsur penipuan dikongsi jutaan rakyat negara tersebut.
Ini merupakan kebangkitan yang terbesar sejak revolusi negara ‘clergy’ tersebut. Sudah pasti ada asas tertentu kepercayaan rakyat terhakis terhadap keputusan pilihanraya mereka, atau ada isu lain yang mendesak mereka bangkit, samada isu ekonomi, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.
Saya bukan ingin mengulas tentang pergolakan politik negara Syiah Imamiyyah tersebut. Namun adalah penting untuk kita tahu bahawa kebangkitan revolusi Iran 1979 mempunyai peranan yang penting mempengaruhi perjuangan gerakan Islam di seluruh dunia dalam memperjuangkan apa yang diistilahkan sebagai ‘Daulah Islamiyyah’ (Islamic State).

Kejayaan
Iran membentuk negara yang dikuasai kelompok mullah atau ulamak membakar semangat Islam ramai pejuang daulah Islamiyyah. Banyak pihak kagum dan menyanjung tinggi Ayatullah Khomeini dan pemikiran revolusinya. Sehinggalah isu-isu berkaitan Syiah timbul dengan jelas dan para penyanjung Khomeini seperti tokoh al-Ikhwan al-Muslimin Sa’id Hawwa mula menarik diri disebabkan perbezaan kefahaman aliran Sunnah dan Syi’ah. Beliau menulis buku al-Khumainiyyah: Syuzuz fi al-‘Aqaid wa syuzuz fi al-Mawaqif (Khomeinism: Pelik Dalam Akidah dan Pendirian).

Ini kerana atas semangat revolusi tersebut, buku-buku Khomeinei seperti Hukumah Islamiyyah, Kasyf al-Asrar dan lain-lain mula dibaca oleh para pencinta Islamic State dan mereka mula mendapati perkara-perkara yang amat sukar untuk diterima seperti menyandarkan zindiq dan kekufuran kepada Saiyyidina ‘Umar bin al-Khattab r.a.

Apapun Iran telah melakukan usaha yang hebat dalam menempatkan pemikiran politik agama dalam dunia ini.

Apapun, Iran dengan aliran Syiah Imamiyyah ada keistimewaan yang tersendiri. Mazhab Syiah adalah mazhab politik. Ia tercetus hasil dari pertelingkahan politik lalu dibentuk menjadi mazhab akidah dengan dimasukkan dogma dan elemen akidah.

Ayat-ayat al-Quran dan nas-nas Nabi s.a.w ditafsirkan menurut asas kepercayaan politik tertentu. Tokok-tambah nas-nas Nabi s.a.w begitu lama dan banyak sehingga menyebabkan mazhab itu stabil sebagai sebuah aliran politik agama.

Hal ini tidak jauh dari apa yang berlaku kepada sesetengah gerakan atau parti politik agama dalam dunia ini. Pertelingkahan yang bermula dengan isu-isu politik dibentuk menjadi isu-isu akidah sehingga ke peringkat mengkafir dan menyesatkan antara satu sama lain.

Namun Syiah Imamiyyah jauh lebih stabil disebabkan usia dan pengalamannya yang panjang. Begitu banyak hadis-hadis yang telah diwujudkan sepanjang tempoh kempen politik mereka yang berlarutan sejak hampir empat belas kurun lamanya. Hadis-hadis ‘keluaran baru’ politik memenuhi mazhab mereka. Ini seperti kononnya Nabi s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang suka hidup seperti hidupku, mati seperti matiku, tinggal di syurga ‘adn yang ditanam oleh tuhanku maka hendaklah dia mengangkat ‘Ali selepasku. Juga mengangkat penggantinya. Hendaklah dia mengikut para imam selepasku, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum keluargaku, diciptakan daripada asal-usulku, direzekikan kefahaman dan ilmuku. Celakalah golongan umatku yang membantah kelebihan mereka dan memutuskan hubungan denganku. Semoga Allah tidak memberikan mereka syafaatku”.

Pada nilaian ulama hadis aliran Ahli Sunnah hadis ini palsu, sanadnya (rangkaian rawinya) gelap, kesemua para perawinya tidak dikenali dengan pasti kecuali seorang iaitu Ibn Abi Rawwad. Nama-nama para perawi lain tidak pernah disebut oleh para ulama al-Jarh wa al-Ta’dil. Apapun hadis ini disanjung oleh Syiah kerana ia penting dalam kempen politik yang dibawa oleh aliran tersebut.

Berbalik kepada isu pembentukan negara agama, Syiah nampaknya jauh lebih berpengalaman disebabkan itulah perjuangannya sejak awal kewujudannya.
Perjuangan merebut kerajaan dari tangan pemerintah-pemerintah muslim yang pernah ada sepanjang sejarah untuk membentuk negara yang tersendiri pada aliran dan pegangannya.

Adapun aliran muktabar ahli sunnah, mereka lebih cenderung menyerahkan urusan politik kepada sesiapa sahaja di kalangan umat Islam, dengan mereka mensyaratkan agar tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, berlaku keadilan dan memerintah atas asas kemaslahatan rakyat. Sesiapa sahaja yang sanggup melakukan demikian dipuji dan disokong oleh para ulama Ahli Sunnah yang ikhlas, jika tidak amar makruf nahy munkar akan dijalankan. Bukan kecenderungan mereka mempolitikkan agama atau terlibat dengan politik agama.

Inilah yang kita lihat dihayati oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi’I, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Ya, mereka merupakan pengkritik yang tegas dan berani, namun mereka tidak pernah menyeru untuk diberikan ‘kerusi’ kepada mereka. Berdasarkan kepada tulisan dan kenyataan mereka, ternyata mereka ingin mengelakkan penumpahan darah sesama kaum muslimin.

Ya, politik itu penting namun bukanlah segala-galanya dalam kehidupan muslim. Juga politik bukan seperti ibadah khusus yang tetap dan tidak boleh diubah. Politik itu begitu anjal (fleksibel) terdedah kepada keadaan dan perubahan atas asas maslahah rakyat.

Apabila jatuh Khalifah
di Turki dan Kuasa-Kuasa Barat menjajah Dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanahair Islam berkembang. Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku fekah lama. Apa yang wujud adalah ‘nation state’ atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri.

Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah daulah islamiyyah (islamic state atau negara Islam). Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum ini. Dahulu yang ada dalam fekah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah Dar al-Islam iaitu Wilayah Islam.

Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam dan zahir syiar Islam.

Sementara Dar al-Harb atau disebut juga Dar al-Kufr merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan muslim dan bermusuhan dengan Dar al-Islam. Dalam ertikata lain nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut, dan wujudnya syiar Islam.

Adapun soal sejauh manakah komitmen seseorang pemerintah itu, ia diuruskan oleh umat Islam di bawah tanggungjawab menasihati pemerintah juga Amar Makruf dan Nahy Munkar. Namun apabila istilah Daulah Islamiyyah muncul, maka lahir segelintir kelompok umat Islam yang mengkafirkan negara sendiri, bahkan mengkafirkan sesama muslim. Mereka seakan menjadikan Dar Islam yang diistilah oleh Sarjana Fekah silam sebagai Dar al-Kufr atau Dar al-Harb yang wajib diperangi hanya disebabkan beberapa isu.

Adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam (sila lihat: Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam 33-43, England: Oneworld Publications).

Bagi kelompok ekstremis ini, untuk mencari definasi
yang tersendiri bagi Daulah Islamiyyah agak sukar. Jika mereka memakai penafsiran silam yang memberi maksud wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, mereka terpaksa mengiktiraf negara-negara umat Islam sekarang adalah Daulah Islamiyyah. Sudah pasti mereka enggan.

Jika mereka memakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan dan solat dan amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti mereka juga terpaksa mengiktiraf kebanyakan negara umat Islam hari ini sebagai Daulah Islamiyyah.

Jika mereka menyatakan negara yang sempurna perlaksanaan Islamnya, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja.

Akhirnya, mereka menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan hudud. Dengan kemunculan Iran, mereka menetapkan satu hal yang lain, negara yang dikuasai oleh golongan mullah.

Hari ini, disebabkan perkembangan globalisasi dan politik setempat, sebahagian gerakan politik Islam sudah enggan lagi berbicara tentang hudud dan hasrat untuk menegakkan hudud. Bahkan, pandangan bahawa golongan mullah (clergy) mestilah menjadi pemerintah mulai lemah. Iran sendiri sudah goyah akibat rakyat yang tidak lagi hanya mahu melihat pakaian dan slogan agama semata, tetapi mereka inginkan kemaslahatan dan hak mereka dipelihara.

Hari ini sebahagian gerakan politik mungkin terpaksa memberikan takrif baru untuk ‘daulat islamiyyah’ atau negara Islam!

Monday, June 29, 2009

Liberal dan konservatif dalam PAS

Media dan pengulas politik banyak memberikan label-label kepada pemimpin dan ahli-ahli PAS. Label yang popular kini ialah konservatif dan liberal. Mereka membezakan dua golongan ini dari aspek-aspek berikut:
  1. Liberal lebih melihat PAS sebagai parti politik dan salah satu political player dalam negara; konservatif lebih melihat PAS sebagai harakah Islam yang berusaha menegakkan Islam atas muka bumi.
  2. Liberal mendokong kebebasan dalam parti, termasuk kebebasan untuk mewujudkan kelompok aliran dalam parti; konservatif mengutamakan wehdatul-fikri dan wehdatul amal.
  3. Liberal melonggarkan kesetiaan dalam parti dengan membolehkan mana-mana ahli mengkritik parti secara terbuka; konservatif menjaga soal kesetiaan (wala’) dengan menyeru ahli agar mengkritik hanya di medan dalaman.
  4. Liberal tidak gemar untuk melaung-laungkan slogan negara Islam dan hukum Islam demi menjaga rakan-rakan pakatan dan orang bukan Islam; konservatif gemar dengan istilah berkenaan bagi menegaskan matlamat asas perjuangan.
  5. Liberal kurang setuju dengan bantahan konsert kerana ia boleh menghilangkan sokongan bukan Islam; konservatif pula melaksanakan bantahan bagi menjaga moral remaja serta melaksanakan nahi munkar.
  6. Liberal agak longgar dalam membela kedudukan Islam (dan umat Melayu); konservatif amat sensitif dengan isu kedudukan Islam (dan umat Melayu)

Wujud dua kelompok ini mendatangkan kebaikan jika:

  1. dapat menarik pelbagai pihak kepada PAS—pihak pencinta agama yang tertarik dengan konservatif dan bukan Islam yang tertarik kepada liberal.
  2. mewujudkan kepelbagaian idea untuk kesegaran perjuangan

tapi ia mendatangkan keburukan jika:

  1. perbezaan pendekatan tidak diurus dengan baik menyebabkan ia dimainkan oleh media musuh
  2. berlaku polarisasi dengan kedua-dua pihak menjadi ekstrem dengan haluan masing-masing
  3. tiada tasamuh dan terlalu fanatik dengan kecenderungan

Jadi, tindakan yang perlu diambil:

  1. Usah hapuskan perbezaan, tapi raikan perbezaan kerana ia fitrah semulajadi.
  2. Sentiasa berusaha untuk memanfaatkan perbezaan pendekatan untuk
  3. Berusaha untuk membuat penilaian dan pertimbangan berasaskan kebenaran walau pun bertentangan dengan kelompok atau tokoh yang disukai.
  4. Mengelakkan sikap terlalu keras atau terlalu longgar serta mengutamakan kesederhanaan (wasatiyyaah) dalam bertindak.
  5. Tidak terikut-ikut memberikan label-label secara spesifik kepada pemimpin dan ahli.
  6. Banyakkan program berbentuk diskusi seperti usrah bagi mewujudkan rasa saling memahami.
  7. Banyakkan syura dalam menentukan hala tuju agar tindakan mendapat dokongan semua pihak.
  8. Peringkat pimpinan perlu banyakkan seminar dalaman atau retreat untuk membuat gagasan bersama hala tuju parti.
  9. Berikan ruang untuk meluahkan perbezaan, tanpa perlu mewujudkan komplot diluar organisasi rasmi parti.
  10. Bina ukhuwwah dengan ikatan hati, ikatan jiwa—juga melalui program yang dapat merapatkan ukhuwwah.

Sunday, June 28, 2009

PAS dan realiti dakwah

Dalam realiti dakwah di Malaysia, peringkat Makkah mungkin memakan masa beratus tahun—bukannya 13 tahun seperti yang dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW. Ini kerana peringkat Madinah hanya berlaku apabila Islam mendapat kuasa sepenuhnya dalam pemerintahan. Dalam sistem politik yang kompleks, saiz Negara yang besar, komposisi kaum yang rencam dan politik antarabangsa yang dinamik, perubahan sistem tidak boleh berlaku dalam tempoh sesingkat 13 tahun.

Rasulullah SAW menerima amanah kerasulan pada usia 40 tahun di Makkah. Dalam tempoh dakwah di Makkah, baginda menekankan soal pendidikan dan pembinaan peribadi dengan pengukuhan aqidah dan akhlak. Dalam tempoh itu, tiada arahan untuk menguatkuasakan syariah, kerana ayat-ayat al-Quran yang menjurus ke arah pelaksanaan syariat belum lagi diturunkan.

Negara hanya tertegak apabila Nabi berhijrah di Madinah. Pada waktu itu, Rasulullah diberikan mandat mutlak untuk mentadbir Madinah. Dengan kebijaksanaannya Baginda mengukuhkan sokongan melalui Sahifah Madinah yang ditandatangani oleh setiap kelompok yang menghuni Madinah. Sahifah ini adalah satu perjanjian yang mengikat masyarakat yang belum Islam untuk mentaati Baginda SAW selaku ketua Negara.

Pada peringkat inilah syariat yang syumul diturunkan. Dalam syariat terdapat hukum-hukum yang memerlukan kuasa politik seperti hukum jenayah, hukum perang dan lain-lain. Hukum sebegini dapat dilaksanakan pada zaman pemerintahan baginda dengan wujudnya Negara Madinah. Proses tadaruj ini ditunjukkan melalui bentuk penurunan al-Quran yang beransur-ansur.

Berbalik kepada perjuangan Islam di Malaysia, hakikatnya petunjuk sirah ini boleh dijadikan panduan asas dalam menentukan peringkat dakwah dan siasah. PAS yang mendokong Islam perlu menyedari bahawa selama ini ia masih dalam peringkat dakwah Makki. Kemenangan di Kelantan umpamanya bukanlah satu bentuk penubuhan pemerintahan yang membolehkan tertegaknya pemerintahan Islam seperti era Madani. Kemenangan itu perlu dilihat sebagi satu pembukaan kepada pintu dakwah yang baru dan lebih besar.

Demikian juga kemenangan PAS bersama-sama rakan dalam Pakatan Rakyat tidak boleh dijadikan satu landasan kepada pemerintahan Islam secara mutlak. Kemenangan itu sebaliknya satu ruang yang semakin luas kepada PAS untuk melebarkan dakwah, bukan sahaja kepada dilkalangan umat Islam bahkan kepada masyarakat bukan muslim.

Menyedari hal ini, pendokong PAS sewajarkan memberikan tumpuan kepada usaha untuk menunjukkan kemampuan Islam memerintah melalui kemenangan yang ada ini. Pamerkan keindahan Islam melalui beberapa aspek yang sedia disepakati umpamanya melalui kerajaan yang bersih dan amanah, pembanterasan rasuah, keadilan sejagat, kepimpinan yang tidak tamakkan dunia, konsep keadilan untuk semua, keterbukaan menerima kritikan dan teguran dan seumpamanya.

Selain itu, sepanjang dalam peringkat ini PAS perlu berusaha untuk menyampaikan mesej aqidah Islam kepada umum termasuk bukan muslim di samping mengukuhkan aqidah umat Islam terutamanya dari kalangan pendokong dan penyokong. Pengukuhan kepada soal akhlak juga penting. Di sinilah letaknya signifikan pemantapan tarbiyah dan dakwah. Tarbiyah dalaman perlu utuh dan dakwah ke arah aqidah yang sahih dan akhlak yang murni perlu dirancakkan.

Menjadi tanggungjawab kepada pemimpin PAS untuk menjelaskan hakikaat ini. Hari ini masih terdengar suara-suara yang mempertikaikan kepimpinan kerajaan negeri dari PAS yang dikatakan gagal untuk menegakkan syariat Islam. Ahli yang meluahkan suara begini perlu difahamkan marhalah dalam dakwah ini. Mereka perlu jelas bahawa kerajaan yang ada sekarang ini bukannya kerajaan Islam. Penyertaan PAS adalah sebagai memenuhi keperluan dan maslahah; juga untuk elakkan mudharat.

Namun keadaan ini tidak bermakna PAS perlu melupakan langsung usaha menegakkan syariah. Penegakkan syariah sebenarnya tetap berlaku dalam beberapa keadaan, iaitu dalam perkara yang disepakati bersama rakan dalam PR, seperti pengharaman rasuah dan ketidakadilan. Selain itu sebarang ruang dan peluang untuk melaksanakan hukum Allah setakat yang boleh tanpa menjejaskan maslahah dakwah dan tarbiyah juga perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah.

Tegasnya, pemimpin PAS sewajibnya memahami aspek keutamaan dalam menentukan halatuju perjuangan, agar setiap langkah yang dihayun menepati dengan kehendak syariat.