Showing posts with label Tarbiyyah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiyyah. Show all posts

Tuesday, September 23, 2008

Faktor Anwar pecah belahkan PAS?

Jika anda mengamati akan anda jumpa perbezaan yang melebar dalam gerak langkah pemimpin PAS mutakhir ini. Bukan susah pun untuk mengesan. Dengan membuka helaian Harakah pun anda dapat tahu ada dua cara berfikir yang nampaknya kian mengutub.

Satu pihak mendokong sepenuhnya Projek Lompat. Satu lagi melihatnya dengan penuh waspada. Semuanya gara-gara Projek Lompat tajaan Anwar. Namun tidak pula kita boleh salahkan Anwar seluruhnya. Gersang wehdatul fikri ini juga bahana kurangnya wacana. Kirang bincang dari hati ke hati. Tidak hadam soal fiqh taghyir. Masalah ukhuwwah. Dan tak ada usrah khusus untuk pimpinan tertinggi. (Usrah sekadar selit dalam mesyuarat--memang tak cukup; ahli diasak untuk berusrah, pimpinan tertinggi bagaimana?)

Nampaknya juga melanda pendokong dan ahli-ahli. Kata penulis terkenal Tn Hj Azizi, anak-anak PAS mula semakin lebih galak memuja Anwar dari pemimpin sendiri. Lebih ghairah berbaju biru muda dari berwatak PAS.

Baca lah sendiri:



BADAN SAJA PAS - BAJU KEADILAN

-Azizi Hj Abdullah.

Memang muakpun melihat ramai ahli-ahli Pas, terutama kalangan anak-anak muda, apabila berbadan Pas tetapi berbaju Keadilan. Sesekali semacam hendak menyindir betapa aqidah kepartian mereka sangat senang digoncang hinggut oleh pengaruh apa yang dianggap ‘reformasi’. Bagaimanapun maksud sedemikian tidak jadi apabila berpegang kepada seruan pemimpin tentang perlunya menafikan 2/3 BN. Pembangkang perlu disokong.

Termasuklah saya pun, selalu tergila-gila menyertai ceramah KeAdilan, menyumbang sesuatu tetapi kerana badan sudah tua, kerja seperti Unit Amal saya tidak lakukan.

Jika mahu mengimbau kembali Pilihanraya Permatang Pauh 26hb Ogos 2008, sebenarnya telah kelihatan ramai ahli-ahli Pas semacam sudah menjadi ahli Keadilan, malah mereka lebih Keadilan dari Pas, mabuk rasa mabuk nama. Mereka seperti Mat Rempit menaiki motosikal dengan baju KeAdilan, lambang dan bendera KeAdilan lalu singgah di markas-markas KeAdilan dan Pas. Lagak mereka, mereka telah merengkuh habis berbakti kepada KeAdilan.

Ketika berselisih dengan rakan-rakan (ketika ini sudah tidak ketahuan lagi yang mana Pas yang mana KeAdilan) sangat payah hendak membeza yang mana orang KeAdilan dan yang mana orang Pas. Mereka akan melaung dan menjerit ‘Reformasi’ dan bukan lagi ‘Allahu Akbar.’

Yang lebih mendukacitakan, ketika Pilihanraya ke 12 pada 8 Mac yang lalu, ada ahli-ahli Pas lebih menumpukan kerja buat, gerak amal, mencula undi dan tercongok di Pondok Panas KeAdilan lebih dari Pas, jika kawasannya calon Pas tetapi kawasan sempadannya calon KeAdilan.

Yang lebih malang pula apabila seorang YB KeAdilan yang cuba memperjuangkan maruah Islam atas nama sebagai individu Islam, membantah kepada kumpulan yang hendak merosakkan perjalanan undang-undang Islam, lalu Parti KeAdilannya hendak mengambil tindakan, orang-orang Pas ini juga marah-marahkan kepada calon tersebut.

Terakhir, dari mulut ke mulut mereka impikan peralihan kuasa melalui KeAdilan (PKR) dan apabila ada pemimpin Pas berceramah, mereka akan merungut dan membeber mulut jika pemimpin Pas mengupas soal Peperangan Kubra atau Nuzul Qur`an dalam kontek politik kini, kerana pemimpin Pas itu tidak mengulas dengan penuh semangat bagaimana peralihan kuasa dan kewibawaan Dato’ Seri Anwar menjadi pemimpin.

Contoh yang digambarkan di atas bukan atas niat cemburu atau sakit hati atau menidak pentingnya kejayaan PKR. Sebaliknya kerana hendak menyambung apa yang diucapkan oleh Presiden Pas, Tuan Guru Hj Hadi Awang ketika berucap di perhimpunan Nuzul Qur`an di Kompleks Pas Kota Sarang Semut pada malam 17 Ramadan yang lalu.

Memanglah Presiden Pas itu tidak membuat gambaran seperti senario di atas. Bagaimanapun kerana sikap dan gaya begitu, budaya baru ahli-ahli Pas, maka Presiden mengingatkan begitu.

Sangat penting apabila Presiden Pas mengingatkan semua ahli-ahli Pas agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan usaha membentuk kerajaan baru hingga sanggup mengenepikan ideologi parti itu untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Yang lebih penting dan perlu diingat ialah bagaimana perlunya konsisten dengan dasar perjuangan, jangan lari dari jemaah.Kemungkinan jauh di sudut hati Presiden, kebimbangannya ialah tidak mahu berlaku kepada ahli-ahlinya yang kononnya sudah mantap dengan aqidah perjuangan, jadi seperti peperangan Uhud; kerana sesuatu, meninggalkan medan perang sehingga lupa kepada pesan pemimpin.

Memang apa yang digambarkan di atas berlaku bukan saja ketika Pilihanraya Kecil Permatang Pauh pada 26 ogos yang lalu, sebaliknya berlaku di mana-mana ketika pilihanraya ke 12 yang lalu.

Begitulah seperti kata pepatah; lebih sudu dari bubur, berat rantai dari beruk yang ditunjukkan oleh sesetengah ahli Pas apabila berhadapan dengan parti PKR malah PKR sendiri selalu mendabik-dabik dada pula terhadap Pas apabila dilihat pengaruh mereka lebih kuat dari Pas, sedangkan tenaga kerja, sehinggalah menampal postar tetap bergantung kepada Pas.

Saya berpengalaman dalam soal ini ketika Pilihanraya ke 11 yang lalu, apabila menjadi Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) dalam menghadapi pilihanraya dan ini berulang dalam pilihanraya ke 12 dalam kawasan di mana calon PKR bertanding.

Kita dapati semangat dan roh, dasar malah prinsip Pas benar-benar susut. Ahli-ahli Pas seperti menjadi ahli baru KeAdilan. Mereka berbangga.Kita menyebut ini bukan bermaksud menghulur pisau untuk mencantas tali hubungan dan meretak Pakatan Rakyat. Tetapi kita mesti ingat, bagi mereka yang beragama Islam, yang belajar sedikit sebanyak asas agama, apabila memasuki parti, mereka pasti memahami dasar perjuangan, dasar partinya dan itulah pasak pegangan politiknya.

Manakala soal menyokong pakatan untuk menafikan 2/3 majoriti BN soal lain, tetapi bukan menggadaikan dasar dan aqidah politik dari sudut agama yang dipegangnya. Ini soal “ Roditu Islama Dinna!” atau "Kami redo Islam itu agama kami!” Ini bererti jika dalam soal lain, kita sokong menumbangkan BN tetapi dalam masa yang sama kita tidak rela gadaikan Islam.

Inilah soalnya dan inilah yang diperingat oleh Presiden Pas.Tetapi malang, sebahagian besar pengikut Pas, malah sesetengah dari kalangan pemimpin Pas sendiri sudah terikut-ikut, terbawa-bawa malah sampai menjadikan Penasihat Parti Keadilan sebagai ‘anak angkat’ dan bukan mustahil sebagai ‘anak emas’ pula.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz, selaku Mursyid Am kelihatan lebih berat condongnya, lebih tebal fanatiknya terhadap Presiden Parti Keadilan walaupun tidak merestui 100% dasar perjuangan Parti PKR.Tetapi Tuan Guru lupa, menyokong berlebihan, mengeluar kenyataan yang hebat-hebat sama dengan menyokong dasar perjuangan Anwar Ibrahim. Ini bukan soal kebenaran Dato' Seri Anwar dalam menghadapi fitnah, tetapi ini soal kebenaran dasar parti.

Kenapa membolehkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegur Mustafa Ali dan menegaskan Mustafa, sama ada sebagai penganalisis politik atau Pengarah Strategi Pilihanraya adalah sama. Jika teguran ini benar, benarlah juga apabila kita memberi sokongan berlebihan kepada Anwar, bererti juga kita membenar dasar PKR.

Ini kesilapan kita. Ini tarbiah yang tidak disedari oleh Syura Pas ketika berhadapan dengan kebangkitan pengaruh Anwar, sehingga ahli-ahli Pas sudah jadi anak ayam lupa kepada ibunya lalu suka sangat kepada bapa itik.

Maka kerana itu, kita berpendapat teguran dan peringatan Presiden Pas di Kompleks Pas Kedah pada 17 Ramadan bukan saja sesuai tetapi sangat perlu dilihat oleh semua peringkat. Kita percaya Presiden sangat kuat mempercayai dan menyintai dasar Pas dan bimbang ahli-ahli Pas lupa tentang dasar sendiri.

Jika trend dan kecenderungan ini berlarutan, ditakdirkan pula PKR menerajui pemerintahan negara, saya sangat kuatir anak-anak muda malah ahli-ahli Pas sendiri yang kini sudah mulai menggilai Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berbondong-bongdong mengangkat bungkus minta dibenarkan mengemis di serambi rumah KeAdilan.

Apakah demi kerana kita mahu menafikan majoriti 2/3 BN atau terus menumbangkan BN maka Pas sanggup menggadaikan prinsip, dasarnya? Jika jawapannya tidak, maka Pas mulai sekarang, melalui pakar strategiknya, melalui penganalisa politiknya mestilah cepat membendung pengaruh ini, terutama di kalangan anak muda. Selain dari dasar dan prinsip agama, soal unsur sekular juga mestilah diambil kira.

Contoh yang paling mudah:Bagaiamana mahu menarik anak muda supaya cenderung kepada pakaian jubah dari memakai kot? Kacaknya Anwar Ibrahim kerana tidak memakai jubah dan selekehnya bukan Anwar kerana serban dan jubah.

Kecenderungan kepada Anwar bukan kerana dasar partinya 100% tetapi kerana beberapa sebab. Di antaranya kerana simpati, ketokohan, berpidato yang tidak menjemukan. Apakah kerana pengaruh ini Pas tidak dapat mengawasi ahli-ahlinya dan jika mengawasi, dengan cara yang bagaimana?

Tuesday, August 26, 2008

Pemimpin PAS dan kekayaan

Menjadi satu kaedah yang difahami umum bahawa harta dan kebendaan adalah alat untuk mencapai matlamat. Maknanya, harta dan kekayaan itu bukan satu cita-cita atau hasrat yang dikejar, tetapi ia sekadar alat yang digunakan untuk membolehkan dan memudahkan hasrat yang lebih basar iaitu keredhaan Allah, dapat dicapai. Tetapi tarikah harta dan kekayaan amat kuat sehingga sering kali, harta dan kekayaan itu memesongkan arah sehingga perjalanan ke arah kutubnya; bukan kutub asal iaitu keredhaan Allah SWT.

Kaedah dan senario di atas juga berlaku dalam konteks organisasi Islam. Pemimpin dan pendokong PAS terkenal dengan kesederhanaan dalam soal kekayaan dan harta. Tokoh-tokoh seperti Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Abdul Hadi menjadi ikon penting kehidupan bersederhana pemimpin gerakan Islam itu. Bahkan watak keserhanaan itu adalah antara tarikan tersendiri yang telah melembutkan hati sekian ramai mad’u untuk mendekati seterusnya mendakap PAS.

Watak kesederhanaan PAS juga ada pada ramai pemimpin PAS lain yang selesa dengan kenderaan yang berkualiti dan selamat tapi sederhana dan tinggal di rumah yang biasa-biasa sahaja, serta teguh berkorban demi Islam. Mereka lah antarasebab yang mendorong generasi tua dan muda untuk istiqamah dengan PAS.

Keadaan ini selari dan selaras dengan realiti PAS yang terus hidup atas pengorbanan pemimpin, pendokong dan ahli-ahlinya. Pengorbanan yang kadang-kadang memaksa ahli-ahli PAS mengenepikan keperluan sendiri demi sumbangan kepada parti. Pengorbanan yang merelakan ahli-ahlinya dihimpit dengan kesulitan hidup demi mempertahankan keutuhan jamaah.

Namun hari ini, kelihatannya sebahagian pemimpin PAS diberikan rezeki oleh Allah dan hidup dalam kemewahan. Seperti yang telah disebutkan tadi, tidak salah untuk menjadi kaya, mewah dan berharta. Bahkan kita pun mahu lebih ramai orang kaya yang baik dan bertaqwa termasuk dari kalangan ahli dan pemimpin PAS. Namun tidak salah juga untuk kita melihat apa yang berlaku ini dari sudut yang lebih kritis agar kita tidak terjebak dalam lembah yang tidak diingini.

Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian dalam hal berkaitan kekayaan yang dimiliki oleh pemimpin gerakan Islam.

Pertamanya, usahlah kekayaan menyebabkan dia menjadi lagha dan leka sehingga lebih banyak memikirkan dan membicarakan soal keduniaan daripada soal Islam, perjuangan dan akhirat.

Kedua, janganlah kekayaan itu menjarakkan dirinya dengan masyarakat umum, ahli-ahli dan pendokong jamaah. Lebih pedih lagi jika kekayaan itu membenihkan kesombongan dan menghilangkan rasa kasih kepada golongan miskin dan melarat.

Ketiga, kekayaan yang dimiliki tidak seharusnya mengurangkan tumpuan, kualiti dan kuantiti ibadahnya kepada Allah; bahkan seharusnya kekusyukan jadi berganda lantaran bertambahnya kesyukuran kepada Allah.

Keempat, jangan pula daya juang, kesediaan untuk berkorban, kesanggupan ditindas atau ditangkap demi jihad menjadi luntur akibat terpaut dengan keempukan harta dan kekayaan.

Selain itu, apa yang penting juga kekayaan yang diperolehi itu mestilah dari sumber yang bukan sahaja halal, bahkan tidak menjadi fitnah kepada perjuangan Islam. Sumber yang boleh dipertikaikan dari sudut kebersihan perlulah dijauhi.

Lebih jauh lagi, seseorang yang sanggup menjadi pemimpin PAS mestilah sanggup berkongsi keperitan hidup dengan ahli-ahlinya yang sentiasa rela berkorban demi Islam. Mungkin ada yang beralasan bahawa kemewahan dan kekayaan yang diperolehi adalah rezeki halal hasil titik peluh sendiri dan ia tiada kaitan dengan kesusahan ahli-ahli. Persoalannya, adakah kebajikan ahli-ahli telah terbela.

Dalam konteks harakah Islam, ukhuwwah perlu dibuktikan dengan memastikan setiap ahli yang mengalami kesulitan hidup dibantu dengan memberikan mereka ruang dan peluang untuk memperbaiki taraf kehidupan masing-masing. Adakah soal ini sudah diambil kira?

Demikianlah beberapa pandangan berkaitan pemimpin PAS dan kekayaan. Memang Islam memberikan kebebasan untuk umatnya memiliki kekayaan sebanyak mungkin. Namun sirah Rasul SAW, sahabat dan sejarah tokoh-tokoh hebat menunjukkan kebanyakan mereka memilih hidup sederhana walau pun mempunyai ruang yang luas untuk menjadi kaya.